Johor Bakal Kuat Kuasa Undang-undang Cegah Salah Guna Nama Kesultanan Johor

Abdul Rahim Ramli

JOHOR BAHRU, 16 Feb — Johor dijangka menguatkuasakan undang-undang yang mencegah dan menyekat penyalahgunaan lambang, jata dan gelaran nama-nama Kesultanan Johor tidak lama lagi.

Untuk tujuan itu, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata Rang Undang-undang Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Negeri Johor 2017 akan dibentang dalam Dewan Undangan Negeri pada akhir Mac ini.

Katanya langkah itu susulan ada pihak yang menggunakan gelaran terbabit untuk menipu masyarakat.

“Kerajaan juga sudah buat keputusan supaya di taman-taman perumahan misalnya, bangunan-bangunan persendirian tidak boleh menggunakan nama-nama yang ada kaitan dengan institusi diraja.

“Misalnya kalau buat bangunan, Bangunan Bukit Serene ataupun Bangunan Mahkota, itu semua tidak boleh digunakan,” kata beliau kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya menerusi undang-undang itu, pihak yang mahu menggunakan lambang, jata atau gelaran perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri dan Sultan sendiri.

Menurut undang-undang itu pesalah boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Abdul Rahim mengingatkan rakyat Johor agar tidak tertipu dengan individu yang mendakwa mereka rapat dengan kerabat Diraja Johor dan boleh membantu mencadangkan nama mereka untuk mendapatkan darjah kebesaran daripada negeri berkenaan.

Katanya kuasa mengurniakan sebarang darjah kebesaran adalah kuasa mutlak raja atau sultan yang memerintah seperti yang tertakluk dalam Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang dan Peraturan bagi Darjah-Darjah Johor 1886 serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985.

Dalam bahagian kedua fasal 7(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985 juga menyebut raja boleh memutuskan mengikut takdirnya sendiri dalam menjalankan kewajipan sendiri.

“Maknanya tidak ada orang ataupun pihak yang boleh memberi sokongan ataupun mencalonkan nama-nama untuk mendapatkan pengurniaan, hatta kerajaan negeri Johor hatta Jumaah Majlis Diraja Johor tidak pernah menyampaikan ataupun menyembahkan kepada Tuanku nama-nama calon yang nak dikurniakan apa-apa darjah, ni kuasa mutlak Tuanku,” kata beliau.

Abdul Rahim berkata demikian berikutan pihak istana ada menerima sepucuk surat daripada individu yang mengemukakan seorang calon untuk mendapat darjah kebesaran Johor, 8 Feb lepas. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial