Johor Berpotensi Besar Menerajui Wakaf – Jamil Khir

img_0820

 

JOHOR BAHRU, 7 Nov – Johor memiliki potensi yang besar untuk mengembangkan program wakaf di negeri itu, khususnya dalam usaha sama membangunkan projek di atas tanah wakaf terbiar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Jabatan Perdana Menteri menerusi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) melihat potensi itu berdasarkan beberapa projek yang giat dijalankan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sejak 2015.

Beliau berkata terdapat tiga projek baharu di atas beberapa bidang tanah wakaf yang terpilih untuk dibangunkan.

Antaranya membabitkan pusat jagaan orang tua di tapak Masjid Taman Perling, dekat sini, yang akan memberikan pelbagai kemudahan, keselesaan dan menjamin kesejahteraan serta kebajikan kehidupan warga emas.

Katanya, JAWHAR dan MAINJ juga merancang pembinaan ruang niaga lima tingkat dan pusat dialisis di tanah wakaf Masjid Kota Tinggi bagi meringankan beban penerima asnaf yang tidak mampu menampung kos perubatan.

Selain itu, kompleks fakir miskin dan ruang industri kecil dan sederhana juga akan dibangunkan di Mersing bagi memberi peluang kepada masyarakat Islam terlibat dalam industri tersebut.

“Kita mengharapkan kerjasama ini dapat menjana pendapatan dan diberi keutamaan kepada golongan asnaf yang mempunyai iltizam untuk berusaha membaiki kehidupan,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.

Tambah Jamil Khir, MAINJ memiliki jadual pembangunan harta wakaf yang aktif termasuk merancang melaksanakan projek pembangunan perumahan di Bandar Baru Uda, di sini sebagai kemudahan prasarana tempat tinggal.

Selain itu, dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia, MAINJ turut merancang membina Francais Wakaf Mart di tapak wakaf Masjid Taman Perling bagi memberi peluang kepada usahawan Muslim, golongan fakir dan asnaf meningkatkan pendapatan mereka.

“Dengan kreativiti yang dijanakan sehingga pelbagai program wakaf ini berjaya dilaksanakan, saya dengan sukacitanya mengajak tuan-tuan melihat Johor sebagai salah satu negeri contoh dan teraju dalam jihad ekonomi yang perlu diteladani dan dikembangkan,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Md. Rofiki A. Shamsudin.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial