Johor Berpotensi Jadi Hab Pelabuhan Serantau

image

 

PASIR GUDANG, 24 Julai – Johor perlu meningkatkan perkhidmatan dan kecekapan yang terdapat di pelabuhan-pelabuhan sedia ada bagi menyokong potensinya menjadi hab pelabuhan serantau.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pelabuhan merupakan sektor penting di Johor kerana berjaya menyediakan pelbagai peluang dan manfaat kepada kemajuan negeri.

“Pelabuhan telah banyak menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan selain memudahkan kita mengeksport lebih 90 peratus produk negeri. Ia turut dilengkapi cabang logistik yang penting bagi sesebuah negara maju sebagai perkhidmatan untuk mengembangkan ekonominya.

“Jadi, amat penting buat kita memantapkan kewujudan dan kecekapan setiap pelabuhan dan rangkaian-rangkaian yang terlibat,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan sijil penarafan hijau kepada Lembaga Pelabuhan Johor sempena majlis perasmian ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Ir. Dr. Roslan Md Taha; Pengerusi LPJ, Dato’ Abdul Rahim Ramli dan Pengurus Besar LPJ, Muhammad Razif Ahmad.

Senada dengan Menteri Besar Johor itu, Liow berkata Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang memiliki potensi untuk dimajukan menjadi pelabuhan terpenting di rantau ini dan penambahbaikan itu perlu dilakukan untuk memastikan pelabuhan negara dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita mempunyai potensi yang besar untuk membangunkan sektor pelabuhan. Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang misalnya merupakan antara pelabuhan terpenting dunia. Dari segi kecekapan, kita mampu bersaing dengan pemain antarabangsa seperti China dan Singapura tetapi kita masih perlu menambahbaik logistik kita,” jelasnya.

“Kapasiti pelabuhan juga boleh dipertingkatkan, contohnya Fasa III Tanjung Pelepas, apabila kita tingkatkan 10 juta TEU (kontena bersamaan 20 kaki panjang) kepada 30 juta TEU, maka kita kena panjangkan lagi pelabuhan kita untuk terima kedatangan kapal-kapal besar untuk berlabuh,” tambahnya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial