Johor cadang KBS beri atlet veteran bantuan sara hidup

 

JOHOR BAHRU 8 Jun – Kerajaan Negeri mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenal pasti atlet-atlet veteran yang pernah mewakili negara diberikan penghargaan dan bantuan sara hidup selayaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, ini kerana sebahagian besar daripada mereka yang pernah mengharumkan negara kini hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan memerlukan perhatian.

“Kalau kita lihat atlet-atlet terdahulu semuanya hidup dan menjalankan latihan dalam keadaan serba kekurangan dari segi kemudahan tetapi mereka masih mampu mengharumkan nama negara, jadi tidak wajar bagi kita generasi pada hari ini membiarkan mereka dalam keadaan seperti ini.

“Jadi saya mewakili Kerajaan Negeri ingin memberikan cadangan ini kepada kementerian dan kerajaan pusat agar sekurang-kurangnya nasib mereka di usia senja dapat dibela dan mereka dapat menyara kehidupan selayaknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat bekas pemain badminton negara, Omar Manap yang mengalami sakit tua di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, ketika ini Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor sedang berusaha untuk mencari atlet-atlet veteran yang lain bagi memastikan mereka mendapat bantuan.

“Kami sudah ada beberapa nama yang kami belum boleh umumkan dan Kerajaan Negeri sendiri dalam tempoh terdekat ini akan menyampaikan bantuan kepada mereka. Cuma kami harap kerajaan pusat dapat bantu berikan mereka ini sedikit dana untuk diberikan bantuan secara bulanan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Majlis Sukan Negeri Johor telah menghulurkan bantuan secara one off berjumlah RM3,500 kepada Omar Manap, 85, selain beberapa barangan keperluan harian.

Beliau merupakan bekas pemain badminton negara yang pernah memenangi Piala Thomas pada tahun 1967 bersama Tan Aik Huang, Yew Cheng Hoe, Teh Kew San, Ng Boon Bee, Tan Yee Khan dan Datuk Billy Ng.

Faktor usianya juga telah menyebabkan beliau lebih banyak menghabiskan masa berehat dan dijaga oleh isterinya Hafifah Jaafar, 78.

Sementara itu, menurut anak perempuannya, Radziah Omar, 52, kesihatan ayahnya mula merosot dua tahun kebelakangan dan sering mengalami masalah semput.

“Baru-baru ini dia banyak batuk, bila doktor periksa rupa-rupanya ada jangkitan kuman pada paru-paru. Selera makan dia pun kurang jadi bila tak makan lebih kerap sakit lah dia (sakit).

“Alhamdulillah kunjungan daripada exco sukan hari ini buat dia gembira, dia pun dari tadi senyum, banyak ketawa dan barang-barang yang diberikan padanya pun dia suka walaupun dia berada dalam keadaan sakit,” jelasnya. – Utusan

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial