JOHOR CORPORATION (J-CORP) LANCAR PROSPEKTUS AL-SALAM REIT

photo_2015-09-04_19-38-28

KUALA LUMPUR: Johor Corporation (JCorp) telah melancarkan prospektus Al-Salām REIT, amanah pelaburan hartanah keduanya pada Jumaat lepas selaras dengan terbitan umum 252.36 juta unit pada RM1.00 untuk setiap unit Al-Salām REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia. 
 
Tawaran Awam Awal (IPO) Al-Salām REIT pada harga tawaran RM1.00 dijangkakan akan menjana perolehan sehingga RM252.36 juta yang mana akan digunakan terutamanya untuk sebahagian pembayaran pertimbangan belian untuk pembelian hartanah-hartanah yang terlibat.
 
Al-Salām REIT dijangkakan akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Saham pada 29 September 2015. Al-Salām REIT merupakan REIT Islam terpelbagai yang memfokuskan kepada pelbagai aset patuh syariah termasuk antara lain runcit komersial, pejabat dan aset perindustrian.
 
Potfolio hartanah awalnya akan meliputi 31 aset dengan jumlah nilaian kira-kira RM900 juta yang diterajui oleh KOMTAR JBCC, sebuah pusat beli belah di pusat bandaraya Johor Bahru yang menempatkan peruncit terkemuka meletakkan dirinya sebagai pusat beli-belah untuk golongan pertengahan dan mewah. 

Aset-aset lain adalah Menara KOMTAR, @Mart hypermarket, KFCH College dan 27 aset rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara dan aset-aset perindustrian terpilih.
 
Al-Salām REIT adalah amanah pelaburan terkini untuk memohon penyenaraian di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan mengambil kesempatan daripada minat pelabur umum untuk pulangan munasabah memandangkan keadaan pasaran masih tidak menentu. 

Harga tawaran Al-Salām REIT membayangkan pulangan pengagihan sebanyak 6.4% untuk tahun 2016, menurut prospektusnya.
 
"Sebagai Penaja, JCorp percaya bahawa Al-Salām REIT akan menunjukkan prestasi yang baik walaupun dalam keadaan pasaran semasa dalam nilai Ringgit Malaysia yang semakin lemah dan harga minyak mentah yang tidak menentu. 

Kekurangan IPO di pasaran tempatan juga mendorong JCorp untuk menyenaraikan Al-Salām REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia tahun ini untuk membantu merangsang pasaran modal Malaysia "kata YB Dato ' Kamaruzzaman Bin Abu Kassim Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp semasa pelancaran prospektus IPO Al -Salam REIT pada Jumaat lepas.

Pelancaran itu dirasmikan oleh YAB Dato Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Johor Corporation.
 
Melangkah ke hadapan, Kamaruzzaman berkata prospek jangka panjang Al-Salām REIT amat cerah yang disokong oleh aset dalam perancangan di mana Pengurus akan memanfaatkan aset dalam Kumpulan JCorp untuk peluang pengambilalihan.
 
Kira-kira 98 % daripada IPO, atau 252.4 juta unit, akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih, manakala 11.6 juta unit, atau baki 2%, akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia. Tawaran IPO telah dibuka pada Jumaat lepas dan akan ditutup pada 15 September 2015.
 
RHB Investment Bank merupakan penasihat utama, penyelaras global tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO tersebut. Mereka juga adalah ejen penempatan bersama dengan Maybank Investment Bank.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial