JOHOR DARUL TA’ZIM ENGGAN LETAK SASARAN TINGGI

SUK DATUK ISMAIL KARIM

Johor Bahru: Biarpun berstatus juara Liga Super untuk dua musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) tampak tidak mahu meletakkan sasaran tinggi pada saingan Piala Malaysia yang akan menyingkap tirainya, Jumaat depan.

Namun, skuad yang bergelar Harimau Selatan itu tetap akan memberi saingan tatkala berada dalam Kumpulan B bersama Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim (gambar) menerusi kenyataan di laman rasmi JOHOR Southern Tigers menyatakan keutamaan skuad yang dibimbing Mario Gomez itu lebih tertumpu untuk memburu kejuaraan Piala FA dan mengekalkan kejuaraan Liga Super.

Selepas gagal mencipta kejuaraan Piala FA namun kesungguhan dan semangat juang yang kental dipamerkan Johor DT, impian merangkul kejuaraan liga untuk dua musim berturut-turut membuahkan hasil dan sekali gus layak bersaing pada saingan Piala AFC musim depan.

 “Piala Malaysia kejohanan berprestij namun ia bukan keutamaan kepada Johor DT kerana lebih mengutamakan untuk memburu Piala FA dan Liga Super.

“Sejak revolusi Johor DT yang bermula pada musim 2013, sasaran kita adalah melayakkan diri bersaing di kancah Piala AFC dan usaha serta kerja keras itu membuahkan hasil.

“Pada saingan piala tertua di negara ini, kita akan berusaha sedaya upaya untuk memberi saingan tetapi seperti yang saya katakan, kita tidak meletakkan harapan tinggi,” kata Ismail.

Apa yang dikatakan Ismail dilihat tidak memberi tekanan kepada pemain Johor DT untuk memulakan kempen piala berprestij itu malah ia akan memudahkan tugasan yang dipikul.

Malah pada musim lalu, skuad Harimau Selatan tidak meletakkan sasaran tinggi untuk bersaing pada Piala Malaysia namun berjaya melangkah ke pentas final sebelum tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti.

Pengendali Johor DT, Gomez turut senada dengan Presiden PBNJ itu tatkala mahu skuad bimbingannya berusaha memenangi setiap aksi dan jika ada rezeki tidak mustahil untuk pasukan itu pergi lebih jauh.

“Kita akan berusaha dan mengharungi satu demi satu perlawanan dan tidak meletakkan keutamaan menjulang kejuaraan piala berprestij,” kata Gomez.- HARIAN METRO

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial