Johor Future: Baik Pulih Rumah Secara Percuma

johor-future

JOHOR BAHRU, 16 Okt – Program Johor Future 2016 – Muafakat Kesukarelaan Darul Ta’zim menawarkan khidmat sukarelawan untuk membaik pulih rumah dengan percuma di 56 Dun di negeri ini mulai 22 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata peluang tersebut ditawarkan khususnya buat golongan yang kurang berkemampuan dengan memberi keutamaan kepada golongan tua atau warga emas, asnaf, uzur dan cacat serta tempat ibu tunggal yang mempunyai ramai tanggungan.

“Program ini bertujuan untuk melestarikan aktiviti kesukarelaan dan kecergasan di negeri Johor secara menyeluruh cetusan idea di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

“Kami menyediakan bantuan membaik pulih kerosakan kecil rumah seperti plag, mentol, zink, siling, mengecat serta baik pulih kecil serta kumpulan sasar yang mendiami rumah adalah terdiri daripada golongan asnaf dan daif yang benar-benar memerlukan bantuan dengan sasaran lima rumah di setiap DUN,” katanya.

Zulkurnain berkata menjadi harapan buat kerajaan untuk melaksanakan program ini secara konsisten bagi melahirkan lebih ramai sukarelawan yang berkaliber dan berkemahiran bersama-sama membantu kesejahteraan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Katanya, semangat sukarela akan wujud dalam setiap peserta yang mengikuti program ini yang diserikan dengan aktiviti berbasikal amal menerusi ‘Johor future cycling’ dan larian ‘Run for volunteer’.

“Faktor perubahan gaya hidup masa kini yang lebih moden memerlukan program yang dapat mengimbangi supaya belia Malaysia khususnya di Johor tidak terlalu hanyut dengan dunia tanpa sempadan.

“Ia digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan melalui Strategi Lautan Biru (NBOS) dalam membantu menyejahterakan rakyat ia akan dapat mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya.

Program yang diadakan di 56 DUN ini akan dilaksanakan selepas sukarelawan terlebih dahulu menjalankan soal selidik bersama Adun tentang kawasan yang perlu dihadiri oleh sukarelawan untuk permohonan bantuan dikenal pasti bagi kelulusan berasaskan sumber yang diperakukan oleh agensi pelaksana peringkat negeri atau menerusi pendaftaran terbuka. – SINAR HARIAN

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial