Johor garis langkah drastik pertahan Tanah Rezab Melayu

1618661_263848043778514_901468618_nKOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri sudah menggariskan beberapa langkah drastik sebagai langkah mempertahankan Tanah Rezab Melayu.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, pada  Perhimpunan Agung UMNO 2014, ramai pihak termasuk presiden parti, ketua wanita dan pemuda menyebut dan meminta supaya tanah rizab melayu dipertahankan.

Katanya, Johor menyambut baik saranan itu dan sudah mengambil pelbagai langkah termasuk menukarkan status kesemua tanah peneroka FELDA seluas 145,970 hektar dan tanah FELCRA kepada Rizab Melayu.

“Selain itu, Johor Corporation akan mengambil alih tanah seluas 382 ekar di Kem Tebrau bagi tujuan membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan Bumiputera.

“Kerajaan Negeri tidak menyambung pajakan tanah seluas 196 ekar di Taman Perindustrian Larkin bagi mewartakannya sebagai Tanah Rezab Melayu untuk tujuan menyeimbangkan jumlah orang Melayu di kawasan Bandar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri sudah mewujudkan inventori maklumat tanah-tanah Rizab Melayu dan maklumat mengenainya perlu dilaporkan setiap enam bulan.

“Hakmilik tanah rizab yang dikurniakan disyaratkan didaftar serentak dengan kaveat Pendaftar satu halangan, sekiranya ada percubaan untuk menjual tanah-tanah kurniaan ini kepada pihak yang bukan Melayu.

“Kerajaan Negeri juga akan merampas tanah yang didapati telah bertukar pemiliknya kepada bukan Melayu sama ada melalui pertukaran pegangan saham atau pengambil alihan syarikat,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM 20 juta bagi menyelamatkan tanah-tanah pertanian yang dimiliki oleh Orang Melayu supaya tidak terjual & akan diusahakan koperasi dan usahawan bumiputera.

“Selain itu, setiap penambakan membolehkan Kerajaan Negeri menambah tanah Rizab Melayu,” katanya.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial