Johor Giat Promosi Pelancongan Pendidikan – Exco

tanjungpiai
Taman Negara Tanjung Piai (Foto: Tourism Johor)

ISKANDAR PUTERI, 25 April — Kerajaan Johor sedang giat mempromosi pelancongan pendidikan bagi mengalakkan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara melawat dan melakukan aktiviti ke kawasan pelancongan, di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, terdapat beberapa destinasi pelancongan yang berpotensi diketengahkan, termasuk Taman Negara Tanjung Piai, Taman Negara Pulau Kukup dekat Pontian, Ladang buah-buahan dan aktiviti melihat kunang-kunang di Desaru dekat Kota Tinggi serta pembelajaran lego robotik di Taman Tema Legoland, di sini.

“Taman Negara Endau-Rompin dekat Mersing juga boleh diketengahkan kepada pelajar universiti bagi menjalankan aktiviti lasak seperti meredah hutan, berakit, berkayak, mendaki bukit, perkhemahan serta mengenali spesies flora dan fauna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Norshida Ibrahim (BN-Buloh Kasap) yang ingin tahu mengenai perancangan pembangunan produk pelancongan negeri berasaskan pendidikan, pada persidangan Dewan Negeri Johor, di Kota Iskandar di sini, semalam.

Tee berkata konsep pelancongan menggabungkan rekreasi dan pendidikan merupakan aktiviti yang amat popular dalam kalangan masyarakat di negara barat seperti kem musim panas dan kem bina semangat.

Ia menjadi program pilihan semasa cuti persekolahan dengan bukan sahaja bertujuan membentuk keperibadian pelajar malah para guru, katanya.

Tee berkata konsep pelancongan seumpama itu semakin mendapat permintaan ketika ini termasuk pelajar dari Singapura dan Indonesia berikutan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap motivasi diri melalui aktiviti pelancongan.

Menjawab soalan tambahan Norshida mengenai sejauh manakah inap desa di negeri ini terlibat sebagai produk pelancongan berasaskan pendidikan yang berpotensi dibangunkan, Tee berkata inap desa di Johor sebenarnya telah berjaya menarik pelajar asing khususnya penuntut universiti dari Jepun, Korea Selatan serta Eropah.

“Mereka mempunyai minat untuk memahami dan mempelajari budaya kita merangkumi makanan, sukan dan permainan tradisional, adat resam dan kepercayaan, pakaian tradisional serta aktiviti pertanian seperti menuai padi, memetik buahan-buahan serta menoreh getah,” katanya.

Menurut Tee, aktiviti memasak turut diketengahkan kepada penuntut asing seperti mengacau dodol, membuat kuih-muih tradisional serta mempelajari tarian tradisional, zapin. — BERNAMA

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial