Johor Komited Capai Status Sifar Dadah

image

 

JOHOR BAHRU, 29 Sept – Kerajaan Negeri komited dalam memastikan setiap penjawat awam di negeri ini bebas daripada penyalahgunaan dadah, selaras dengan matlamatnya mencapai status Johor Sifar Dadah menjelang 2018.

Komitmen itu juga dapat dilihat dengan penganjuran Seminar Intervensi Anti Dadah yang diadakan hari ini bagi memberi kesedaran kepada penjawat awam dan semua lapisan masyarakat agar bencikan musuh negara nombor satu itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata Kerajaan Negeri mempunyai pendekatan melalui bimbingan dan kaunseling bagi menjayakan agenda rakyat Johor yang sihat dan bebas daripada dadah.

Malah, di Johor katanya telah mewajibkan semua penjawat awam menjalani ujian saringan air kencing sebagai pendekatan ke arah mencapai sasaran penjawat awam sifar dadah.

Menurut Ayub, bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah mengadakan lawatan ke 27 buah agensi negeri dan 58 buah agensi persekutuan untuk menjalankan saringan awal ujian air kencing.

“Sebanyak 1,879 orang dari agensi negeri dan 2,421 orang dari agensi persekutuan telah menjalani ujian air kencing. Hasil daripada ujian tersebut hanya dua orang penjawat awam negeri dan 13 orang penjawat awam persekutuan yang positif dalam ujian tersebut.

“Kalau disemak daripada peratusan anggota yang telah diuji saringan air kencing, didapati peratusan penjawat awam yang positif adalah rendah iaitu 0.2 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan seminar tersebut di Hotel Berjaya Waterfront, dekat sini.

Beliau mewakili Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Dato’ Dr. Abdul Halim Mohd Hussin.

Sementara itu, Ismail berkata ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan bagi memastikan kakitangan di jabatan masing-masing bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Ia bagi memastikan imej jabatan dan Kerajaan Negeri terus terpelihara.

“Ketua-ketua jabatan kini perlu menjuarai perubahan. Tidak perlu berkomplot atau melindungi kakitangannya yang positif dadah kerana ianya boleh menjejaskan integriti mereka dan menyebabkan produktiviti jabatan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kita akan dipersalahkan atas kegagalan menangani masalah tersebut sehingga menyebabkan penularan amalan negatif dalam perkhidmatan awam termasuk ketidak-telusan dalam melaksanakan tugas,” tegasnya.

Dalam pada itu, katanya ujian saringan urin yang dilakukan menjadikan kakitangan awam Johor sebagai contoh kepada masyarakat, sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri serius membanteras panyalahgunaan dadah.

Ismail turut memuji penganjuran Seminar Intervensi Anti Dadah sebagai satu usaha Kerajaan Negeri untuk menggerakkan masyarakat supaya bersama-sama membantu menangani masalah dadah.

Seminar itu dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Unit Integriti dengan kerjasama AADK Cawangan Negeri Johor.

Bersesuaian dengan tema Hari Antidadah Antarabangsa pada tahun ini “Perangi Dadah Habis-habisan”, ia perlu menjadi tanggungjawab semua orang untuk merealisasikan masyarakat bebas dadah.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial