Johor Komited Pastikan Kelestarian Alam Sekitar – Exco

KOTA ISKANDAR, 24 Nov – Di sebalik pembangunan pesat yang berlaku di Johor, Kerajaan Negeri komited memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan Rangka Tindakan dan Pelan Hala Tuju Biorosot dan Biokompos Johor mulai tahun 2016 – 2020.

Katanya, sebanyak RM250,000 peruntukan awal daripada jumlah keseluruhan RM 1.455 juta akan diberikan pada tahun hadapan untuk memulakan ‘road map’.

“Perbadanan Biotech dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) akan dipertanggungjawabkan sebagai peneraju utama untuk melibatkan secara langsung dalam pengenalan dan pengedaran bahan alternatif polisterin menerusi syarikat usaha sama.

“Selain itu, menggalakkan penglibatan aktif pihak berkepentingan seperti pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna dalam membina ekosistem dan rantaian bekalan bahan alternatif polisterin yang memenangkan ekonomi, alam sekitar dan masyarakat serta melaksanakan program kesedaran, promosi dan galakan,” katanya.

Tambah beliau rangka tindakan ini akan menjadi garis panduan semua pemegang taruh dan menjadi titik tolak perubahan positif serta mendukung inisiatif dan aspirasi negeri Johor.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Negeri Johor Mesyuarat Ketiga (Bajet 2017) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Katanya, buat masa ini, kajian mendapati bahawa sisa pepejal di Johor adalah sebanyak 1,800 tan sehari dan 360 tan adalah terdiri daripada sisa plastik dan polisterin, manakala kos pengurusan sisa pepejal sebanyak RM360 juta setahun.

Dalam perkembangan lain, Ayub berkata hospital-hospital kerajaan yang terdapat di seluruh negeri ini didapati masih berupaya untuk menampung bilangan pesakit yang ada dan berada dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, buat masa ini jumlah katil yang terdapat di semua hospital kerajaan di Johor ialah sebanyak 5,185 buah melibatkan 185 wad.

“Mulai 2016, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru telah diluluskan jumlah pertambahan katil daripada 898 buah kepada 1,026 buah iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus atau bersamaan dengan 217 buah.

“Secara keseluruhannya, hospital kerajaan di negeri ini masih mampu menampung pesakit dan dalam keadaan terkawal,” katanya.

Menurut Ayub, daripada segi kadar penggunaan katil (BOR) pula, angka yang dicatatkan di Hospital Tangkak serta Hospital Kota Tinggi adalah masih rendah,

“Manakala BOR bagi hospital-hospital lain pula adalah pada tahap sederhana kecuali Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang yang mana penggunaannya melebihi 95 peratus.

“Perancangan untuk melengkapkan wad tambahan dengan 28 katil juga sedang diusahakan,” ujarnya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial