JOHOR KOMITED PEMULIHARAAN BIODIVERSITI

12248206_531402427023073_3156832577981903293_o

BATU PAHAT – Kerajaan negeri komi­ted untuk memastikan pemuliharaan biodiversiti kekal menjadi agenda pen­ting dalam melaksanakan pembangunan demi kelesta­rian generasi akan datang.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, identiti Johor tidak hanya berpaksi kepada pembangunan moden semata-mata malah me­nitikberatkan keseimbangan de­ngan alam semula jadi.

Menurutnya, aspirasi kerajaan negeri adalah untuk menjadikan Taman Negara Endau-Rompin misalnya sebagai lokasi yang menyediakan persekitaran holistik untuk manfaat manusia.

“Kita akan kehilangannya sekiranya mengehadkan taman negara itu hanya untuk tujuan komersil semata-mata, sebaliknya ia adalah produk pelancongan di mana kita boleh memahami dan bekerjasama dengan alam semula jadi.

“Ia adalah tempat untuk pelancong dan kita memahami ke­unikan pengembaraan dan menghargai kewujudan serta kesucian alam sekitar,” katanya ketika meras­mikan Persi­dangan Bio­diversiti An­tarabangsa 2015 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini malam tadi.

Lantaran itu, ujar Mohamed Khaled, Dasar Kelesta­rian Johor yang diperkenalkan akan menjadi garis panduan dalam menguruskan sumber asli negeri ini secara lebih berkesan selain menyediakan keperluan tertentu untuk pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, di bawah dasar itu, Majlis Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau akan ditubuhkan untuk menyelia perancangan dan pelaksanaan terhadap inisiatif membabitkan alam sekitar.

“Pemantauan itu termasuk juga terhadap projek berimpak tinggi di negeri ini iaitu pelan low carbon society, Pusat Santuari Gajah dan Pusat Santuari Dugong Johor yang sedang dirancang.

“Malah, kerajaan negeri juga komited terhadap pemu­liharaan hidupan liar kerana kita akan mewujudkan tabung amanah hidupan liar yang akan digunakan untuk menyokong usaha-usaha pemuliharaan di seluruh negeri,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan ­ulang tahun ke-22 Perbadanan Taman Negara Johor turut diadakan bersempena persidangan yang menghimpunkan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial