Johor komited terus jadi pengeluar makanan terbesar

BATU PAHAT: Johor komited untuk terus kekal sebagai pengeluar makanan utama negara dengan melaksanakan pelbagai tindakan termasuk mengusahakan tanah terbiar yang terdapat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata terdapat kira-kira 42,007 ekar tanah terbiar di negeri ini dan daripada jumlah itu, 6900 ekar sudah dikenal pasti berpotensi untuk dimajukan.

Katanya lagi, selain itu kerajaan negeri sedang melihat potensi daerah Segamat untuk dibangunkan sebagai hab dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

“Untuk merealisasikan rancangan ini, kita akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan pelan induk mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  merasmikan majlis Road to Maha 2014 peringkat negeri Johor,di Dataran Penggaram di sini.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga mahu semua pihak mematuhi syarat tanah yang sudah diluluskan dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhinya.

“Kita mahu tanah-tanah yang telah kita luluskan untuk tanaman kontan seperti nenas tetapi ditanam kelapa sawit supaya mereka patuhi syarat tanah, jika tidak kita akan ambil tindakan,” katanya.

Katanya lagi,  Kerajaan Negeri sudah memberikan bantuan bernilai RM11.2 juta kepada 2,558 usahawan menerusi Program Galakan Usahawan sejak tahun 2002 hingga 2011.

Katanya, seramai 40 usahawan telah mencapai tahap pendapatan melebihi RM250,000 setahun dan selaras pencapaian itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah sebanyak RM1 juta tahun ini bagi program galakan berkenaan.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial