Johor Laksana Pelbagai Inisiatif, Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris

dun_jais
KOTA ISKANDAR, 20 Nov – Kerajaan Johor sedar kepentingan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di sekolah-sekolah dalam negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata, malah kerajaan negeri juga sedia maklum kepentingan bahasa berkenaan yang merupakan bahasa ilmu pengetahuan.

“Dalam era globalisasi dan modenisasi ini, Bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber yang penting.

“Menyedari hakikat ini, Jabatan Pendidikan Negeri Johor tidak pernah leka dalam membantu murid menguasai Bahasa Inggeris kerana kepentingannya bukan sahaja diguna pakai di sekolah, tetapi amat meluas hingga ke peringkat pembelajaran lebih tinggi dan semasa menceburi alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ir Syed Sis Syed Abd Rahman (BN-Tanjung Surat) mengenai usaha Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk meningkatkan pencapaian pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dalam negeri ini pada Persidangan Dewan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa program telah dirancang dan dilaksanakan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Katanya, usaha berkenaan adalah program lima bintang UPSR dan SPM, Effective Writing untuk UPSR dan SPM, mewujudkan panel perunding mata pelajaran untuk mata pelajaran kritikal, menyediakan modul Everyone Can Pass English serta melaksanakan program English Within 20 Minutes.

Beliau menambah, selain daripada lima program dikendali Jabatan Pendidikan Negeri Johor itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil satu langkah proaktif bagi menyokong segala usaha Kementerian Pendidikan dalam memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

“Kerajaan Negeri di bawah Yayasan Pelajaran Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan satu program pemerkasaan Bahasa Inggeris iaitu Pengayaan Bahasa Inggeris Negeri Johor.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menjayakan program ini, dengan penglibatan 11 daerah pendidikan di Johor. Tujuannya adalah untuk melihat pelajar di Johor mampu bertutur dan menguasai bahasa Inggeris serta dengan secara tidak langsung dapat bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Md Jais berkata, program itu bukan sahaja berfokus kepada pelajar, malah pentadbir sekolah iaitu Guru Besar, Pengetua dan guru-guru.

“Sebanyak tujuh inisiatif telah dirangka dalam menjayakan program ini iaitu English For Management Level Workshop, Training of Trainers guru bahasa Inggeris bukan opsyen, Training of Trainers guru bahasa Inggeris opsyen, English in camp, Inter-clas Debate, Effective Writing Programme for SPM English Language serta MyLine.

“Usaha Kerajaan Negeri juga tidak akan terhenti di sini, dan akan terus menjayakan pemerkasaan Bahasa Inggeris pada tahun depan di bawah peruntukan Yayasan Pelajaran Johor sebanyak RM500,000 sebagaimana diumumkan Menteri Besar semasa ucapan Bajet Johor 2017,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial