Johor Lancar Kad Pelaporan PKS

image

 

BATU PAHAT, 1 Okt – Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Kad Pelaporan Pelan Tindakan Strategik PKS Negeri Johor untuk memastikan semua program dalam sektor keusahawanan berjalan lancar dan dapat memberi hasil dan pencapaian yang disasarkan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kad tersebut juga akan menjadi rujukan utama kepada usahawan baru atau sedia ada untuk mendapatkan maklumat serta peluang yang diberikan oleh agensi-agensi negeri dan persekutuan.

“Kad tersebut akan mewujudkan sistem pemantuan, penaksiran impak dan penilaian program dan aktiviti yang akan dilaksanakan.

“Justeru, ia akan dapat melahirkan PKS dan usahawan yang berdaya saing untuk pembangunan ekonomi Johor supaya setanding dengan negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Gerak Usahawan Johor, di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor, Hahasrin Hashim.

Mohamed Khaled menegaskan bahawa sektor keusahawanan terus diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri kerana beberapa faktor.

“Pertama, ia dilihat sebagai salah satu penyumbang kepada pertumbuhan dan kerancakkan ekonomi negeri.

“Melalui pertumbuhan, akan wujud pekerjaan dan pendapatan, serta kesejahteraan dan kemakmuran yang menjadi sasaran utama dalam mana-mana sistem ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, keusahawanan adalah sektor yang berupaya menjadi instrumen pengagihan kemakmuran yang lebih seimbang melalui pelbagai insentif dan infrastruktur keusahawanan yang meluas.

“Sebagai contoh, melalui program Bantuan Bertapak Usahawan atau BANTU dengan usahasama EDC-SSI, Program Bio-SME, Program Jejak Mini PKS, pakej rangsangan mempromosi produk PKS, Program Pembangunan Usahawan Kemahiran serta Inkubator Usahawan.

Menurutnya lagi, pengembangan sektor keusahawanan juga adalah sebagai persediaan untuk masyarakat kita berhadapan dengan dunia teknologi yang menghapuskan fungsi fizikal manusia.

“Kesannya, banyak sektor yang selama ini menawarkan pekerjaan akan terkesan teruk dan menyebabkan pengangguran.

“Maka, kita mesti mempersiapkan masyarakat dan keusahawanan adalah salah satu sektor terbaik untuk melakukannya,” jelasnya.

Penganjuran Gerak Usahawan Johor tahun ini diberikan nafas baharu melibatkan penglibatan 60 agensi yang berkolaborasi secara lebih sistematik antara agensi-agensi keusahawanan kerajaan dengan usahawan muda.

“Sebab itulah di Johor, jika ingin mempunyai aktiviti ekonomi yang rancak, yang melibatkan ramai anak muda yang kreatif dan inovatif, maka keusahawanan mestilah digerakkan secara serius, radikal dan terancang.

“Malah, ia membolehkan kita berhadapan dengan gerakan ekonomi bebas atau independent economy, yang sedang rancak melakar corak baharu keusahawanan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia,” kata Mohamed Khaled.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial