Johor Lancar Tabung Wakaf Rakyat Johor

img_0841

 

JOHOR BAHRU, 8 Nov – Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Tabung Wakaf Rakyat Johor yang akan berfungsi sebagai wadah amal jariah bagi seluruh umat Islam di Johor.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, wakaf juga adalah cara mengukuhkan muafakat Bangsa Johor serta ikhitar Kerajaan Negeri dalam menggunakan pelbagai model Islam untuk menyuburkan kebaikan di bumi Johor

“Telah tiba masanya, kita mencari model pembangunan yang lain dari hanya berpandukan apa yang datang dari Barat. Telah sampai waktunya, penyelesaian yang ditawarkan dalam kerangka Islam, dibongkar potensinya.

“Maka kerana itu, Kerajaan Negeri merasakan bahawa pembangunan kesejahteraan sosial di Johor ini memerlukan sentuhan baharu. Sentuhan yang bersumberkan syarak yang berinspirasi dari ilmu wahyu, yang sesuai dengan jati diri kita sebagai Muslim.

“Wakaf adalah salah satu jalan yang kita cari selama ini untuk memberikan jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah yang mendepani Johor yang semakin moden dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tabung Waqaf Rakyat Johor yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Tambah Mohamed Khaled, wakaf adalah salah satu cara yang yang dianjurkan dalam Islam dalam menguruskan kekayaan untuk dikongsi bersama.

“Wakaf ini adalah jalan Tuhan untuk kita menguruskan limpahan kekayaan tersebut agar segala kekayaan dikongsi dengan ikhlas sesama manusia serta membawa kebaikan kepada semua.

“Maka, terpulanglah kepada kita untuk mengelola dan menguruskannya. Insya-Allah, melalui penyuburan amalan wakaf dan infak ini, umat Islam di Johor tidak akan terjerumus kepada kemiskinan, kemunduran, kejahilan dan pastinya, kebakhilan,” jelasnya.

Menurut beliau, sehingga kini sejumlah RM12 juta sudah dikumpul dalam tabung wakaf tersebut.

“Suka saya memaklumkan, bahawa, setakat ini, kita sudah berjaya mengumpulkan sebanyak RM 12 juta sumbangan bagi Tabung Wakaf Rakyat Johor.

“Saya mengambil kesempatan ini, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua hartawan dan dermawan yang telah berbesar hati memberikan sumbangan ikhlas ini. Semoga wakaf mereka ini, menjadi suri teladan dan ikutan yang baik kepada kita semua.

“Semoga dengan dana yang membukit, hasil pemberian ikhlas masyarakat Islam Johor akan merawat segala kesulitan yang membelenggu umat Islam di negeri ini,” katanya.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Negeri Johor; Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial