Johor mahu lahir generasi seimbang

PASIR GUDANG: Kerajaan Negeri komited melahirkan generasi Johor yang bersahsiah tinggi dengan menitikberatkan keseimbangan kedua-dua aspek pendidikan moden dan agama. Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pendidikan agama adalah satu asas penting dalam pembinaan masyarakat yang maju. “Sistem pendidikan agama mampu menjana modal insan berkualiti serta mempunyai sahsiah yang tinggi….Benar pendidikan moden itu penting, dan ia perlu diseimbangkan dengan ilmu-ilmu Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan di Sekolah Agama Permas Jaya di sini, semalam. Mohamed Khaled berkata adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap ibu bapa bagi memastikan setiap anak mendapat pendidikan yang seimbang bagi aspek duniawi dan ukhrawi. “Sebab itulah pendidikan Islam di Johor perlu terus diperkukuh, dimoden dan diberikan perhatian utama,” katanya, sambil menambah, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memantapkan lagi sistem dan pelaksanaan pentadbiran sekolah agama Johor. “Bermula 2015, pemberian imbuhan tahunan kepada guru-guru KAFA adalah seperti penjawat awam yang lain. Ini bermakna, setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bonus, guru-guru KAFA ini juga tidak terkecuali menerimanya. “Guru-guru KAFA juga akan menerima pembayaran elaun khas cuti bersalin RM824 sebulan untuk tempoh cuti bersalin selama dua bulan,” katanya ketika menjelaskan antara inisiatif yang dilaksanakan. Tambah beliau lagi, peruntukan sebanyak RM2 juta juga diperuntukkan kepada 48 sekolah agama yang memiliki jumlah pelajar melebihi 1,100 orang, bagi menampung kos penyelenggaraan dan pembersihan di sekolah-sekolah tersebut. Selain itu, peruntukan berjumlah RM5,000 juga disediakan bagi setiap Badan Kebajikan Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor, membabitkan 558 sekolah, tambahnya. Pada majlis itu, sebanyak 25 sekolah agama di daerah ini menerima bantuan yang sama, membabitkan peruntukan berjumlah RM125,000.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial