Johor Menyambut Baik Konsep Wala’

Johor Menyambut Baik Konsep Wala’

KUALA LUMPUR, 1 Dis – UMNO Negeri Johor menyambut baik konsep wala’ yang diutarakan Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata konsep itu amat bertepatan, lebih-lebih lagi dalam persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Untuk kita berjaya dalam pilihanraya umum, sudah tentulah parti perlu bersatu padu, adanya kesepakatan perpaduan di kalangan semua, dan salah satu prinsip yang boleh menyumbang kepada perpaduan dan kesepakatan ni adalah prinsip wala’.

“Jadi kita faham kenapa Presiden bawa konsep itu kerana kalau parti tak bersatu kita tak mungkin boleh berhadapan dengan pilihanraya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Batik Johor Moden Galeri Muo di Pameran Wanita Kreatif PAU 2016 anjuran Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Dalam ucapan dasarnya, Mohd Najib telah menekankan kepentingan budaya kerja sepasukan yang mantap di mana konsep wala’ membawa erti kasih, kesetiaan dan kepatuhan kepada seseorang pemimpin yang sah.

Menurut beliau, konsep itu juga yang telah membuatkan parti itu bertahan melalui pelbagai episod suka dan duka selama tujuh dekad.

Mengupas lebih lanjut ucapan dasar Presiden UMNO, Mohamed Khaled turut mengulas tentang kematangan parti PAS dan peranan yang dimainkan UMNO untuk kaum lain di Malaysia.

“Saya percaya kalau UMNO dan Kerajaan buat sesuatu yang baik, kalau kita ketepikan sentimen, kalau kita ketepikan soal nak main politik, saya percaya ramai akan terima hakikat bahawa kerajaan dan parti telah mencapai banyak kejayaan dan sentiasa berusaha untuk membangun dan memajukan negara di samping membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan penegasan daripada Presiden yang mengatakan bahawa UMNO akan berlaku adil kepada semua kaum kerana ini selari dengan apa yang selama ini dilakukan oleh parti.

“Atas sebab itulah kita mempunyai kerajaan campuran, dan apabila Perdana Menteri menyatakan perkara itu, Johor anggap itu sebagai satu penegasan yang kita alu-alukan kerana tanpa kerjasama daripada semua kaum, tak mungkin kita boleh maju dan berjaya,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial