Johor Mula Dilanda Banjir

SEGAMAT, 24 Jan – Hujan lebat berterusan sejak malam semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Segamat, Tangkak dan Johor Bahru mula dinaiki air.

Keadaan menyebabkan paras Sungai Segamat di Kampung Batu Badak; Sungai Juaseh (Labis) dan Sungai Tiram (Johor Bahru) mulai melimpah ke kawasan rendah.

Sehingga jam 10 malam tadi, kira-kira 250 mangsa banjir dari tiga daerah terbabit mula dipindahkan ke enam pusat pemindahan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata enam pusat pemindahan banjir dibuka bagi operasi pemindahan mangsa banjir.

“Pusat pemindahan yang dibuka hari ini ialah di Balai Raya Kampung Melayu Raya, Dewan Serbaguna Kampung Bukit Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun Tenang Stesen, Balai Raya Kampung Gelang Chincing, Ulu Tiram dan Balai Raya Kampung Melepang.

“Seramai 159 mangsa daripada 29 keluarga dari Kampung Lembah Bakri, Labis ditempatkan di SJKC Ai Chun Tenang Stesen manakala 50 mangsa dari Kampung Paya ditempatkan di pusat pemindahan banjir Ulu Tiram.

“Seramai 11 penduduk daripada satu keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir yang dibuka pada jam 10 malam tadi, manakala 18 mangsa membabitkan tujuh keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Bukit Tunggal.

“Di Tangkak, empat mangsa daripada satu keluarga dipindahkan di pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Melepang,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Ayub berkata, pihaknya belum dapat mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang dipindahkan kerana satu pusat pemindahan banjir masih dalam operasi memindahkan penduduk yang terjejas. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial