Johor Mulakan Langkah Jadi Pelopor ‘The Fourth Industrial Revolution’

image

JOHOR BAHRU, 8 Okt – Johor memperkenalkan program Johor Mahir (Edisi Digital) atau Johor Tech bagi memulakan langkah untuk menjadi pelopor kepada The Fourth Industrial Revolution atau revolusi industri keempat, iaitu menyediakan bakat terbaik untuk menggerakan ekonomi digital dengan kemahiran sebenar.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu dilakukan selepas Kerajaan Negeri sedar akan keperluan Johor untuk bersiap sedia bagi melahirkan generasi digital dengan kemahiran yang sesuai dengan keperluan buruh dan pekerjaan.

The Fourth Industrial Revolution ini akan mengubah cara kita hidup, bekerja, dan berinteraksi antara satu sama lain. Ia adalah realiti ekonomi masa depan yang memerlukan kemahiran dan kefahaman bahasa digital dan teknologi.

“Maka kerana itu, mesti kita sediakan tenaga mahir yang multiskill, yang berupaya menggunakan teknologi baru di dalam bidang seperti Artificial Intelligence, robotik, percetakan 3D serta pengurusan data berskala besar seperti Big Data,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim; Pengurus Besar Pusat Pembanguan Usahawan Johor, Hahasrin Hashim serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Copration, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled turut menegaskan inisiatif Johor Mahir ini bukanlah menjamin segala cabaran dunia digital, sebaliknya usaha yang berfokus dalam membangunkan kepakaran dan kemahiran dunia digital.

Tambah beliau, pengaruh aplikasi digital dalam kehidupan masyarakat diramal semakin meluas sehingga dijangkakan Ekonomi Digital bakal menyumbang kira-kira 18 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020.

Malah, lebih 90 peratus daripada kesemua pekerjaan menuntut kemahiran digital yang pelbagai.

Sementara itu, Hahasrin berkata penganjuran Johor Mahir yang memasuki tahun kedua ini memberi peluang eksplorasi kemahiran bukan sahaja dalam bidang Teknologi Maklumat dan Multimedia, tetapi juga dalam bidang perniagaan atas talian yang kini menjadi trend golongan belia.

“Jika pada tahun lepas, edisi pertama, Johor Mahir lebih umum penganjurannya, pada tahun ini kita lebih fokus dalam memilih tema untuk kita ketengahkan.

“Ia berdasarkan pertimbangan dan kehendak masa kini khususnya yang relevan dengan golongan sasaran iaitu orang muda dan belia Johor. Ianya juga seiring dengan perancangan pertumbuhan ekonomi Johor yang sedang rancak dibangunkan bagi memastikan adanya permintaan atau  kehendak pasaran bagi tenaga mahir,” katanya.

Lebih 30 agensi dan institusi kemahiran berkaitan teknologi terlibat dalam program dua hari itu bermula semalam di Komtar JBCC, dekat sini, bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai potensi kemahiran teknologi.

Antaranya ialah Les’ Copaque, Skills Johor dan Media & Game Innovation Center Of Excellence (MaGIC-X).

Peneraju industri itu juga akan memberi pendedahan kepada pengunjung melalui siri ‘pocket talk’, selain pameran dan khidmat perunding individu sepanjang program dijalankan.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial