Johor Pergiat Inisiatif Lahirkan Usahawan Digital

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menandatangani plak pelancaran program Usahawan Digital 2017.

SKUDAI, 27 Mac – Kerajaan Negeri mensasarkan untuk melahirkan 15 hingga 20 usahawan digital yang berjaya dalam tempoh dua tahun.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, ekonomi digital kini menjadi satu daripada agenda dan tumpuan penting kerajaan yang dilihat berpotensi menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Beliau berkata  Kerajaan Negeri memulakan inisiatif pembangunan usahawan digital dengan hasil kerjasama Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC of Johor) bersama Pusat Kecemerlangan Inovasi Media Dan Permainan Digital (MaGICX) melalui program usahawan digital yang julung kalinya diadakan tahun ini.

“Saya ingin menegaskan yang Johor akan memfokuskan kepada perkara ini dan kita akan melakukan gerakan besar-besaran untuk melibatkan ramai anak muda kita dalam keusahawanan digital.

“Johor mesti meletakkan sasaran untuk melahirkan usahawan digital dari kalangan orang muda dan dalam konteks ini, saya kira tidak keterlaluan jika kita mensasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 orang usahawan digital yang berjaya dalam tempoh 2 tahun dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Melancarkan Program Usahawan Digital 2017 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini hari ini.

Sehingga  kini, empat syarikat sedang dalam proses untuk menghasilkan produk berasaskan industri berkenaan termasuk produk berkaitan teknologi pembelajaran jawi, dan hiburan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata agensi telibat seperti EDC mesti mencari jalan yang lebih kreatif dan berkesan untuk menarik minat golongan muda menceburi bidang ini.

“Penawaran geran padanan serta dana pemudah cara bagi mencambahkan digital start-ups adalah sesuatu yang boleh difikirkan secara serius.

“Terutamanya dengan melibatkan pelbagai agensi lain seperti pihak MagicX di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang keusahawanan digital  untuk melihat jauh melangkaui konteks Johor dan Malaysia.

“Fikirkanlah produk atau perkhidmatan yang bukan sahaja memberikan pulangan yang baik kepada perniagaan anda semua dan membantu ekonomi setempat,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Mohamed, Pengarah Eksekutif EDC of Johor, Hahasrin Hashim dan CEO MaGICX, Prof Madya Dr Mohd Shahrizal Sunar.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial