JOHOR PERKENAL KAEDAH TINGKAT PENGELUARAN DAGING

ismail-mohammed

TANGKAK – Johor akan memperkenalkan dua skim baharu membabitkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta bagi meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan terutama bagi keperluan pada musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ismail Mohamed berkata, dua skim yang akan diperkenalkan tidak lama lagi itu khusus untuk penternak kecil dan komersial selain menggantikan Skim Pintar sebelum ini.

"Skim pertama ialah Skim Penternakan Rakyat dengan peruntukan RM1 juta untuk memberikan lembu percuma kepada penternak tradisional yang setiap mereka akan menerima empat ekor lembu betina dan seekor jantan.

"Lembu ini akan menampung keperluan pada musim perayaan kerana bekalan ketika itu tidak cukup, harga meningkat setiap tahun dan terpaksa diimport. Harga daging yang dijual juga dijamin lebih murah 20 peratus daripada harga pasaran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ismail berkata, skim pertama itu melibatkan 150 penternak tradisional dan selepas ini, mereka berpotensi untuk mendapat bantuan kedua skim berkenaan apabila sudah mendatangkan hasil.  

Katanya skim kedua pula berbentuk pinjaman sebanyak RM2.5 juta yang diserahkan kepada pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) untuk menguruskannya bermula Oktober ini.

"Skim kedua ini melibatkan 200 penternak komersial untuk membuat pinjaman bagi bidang penternakan itu untuk menghasilkan lebih banyak keperluan daging untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, selain dua skim itu, dalam masa terdekat juga kerajaan negeri akan melihat skim-skim baharu yang bersesuaian untuk pertanian luar bandar dan dalam bandar.

Mengenai kesan kejatuhan ringgit terhadap bidang pertanian dan penternakan di negeri ini, beliau berkata, pihak Jabatan Pertanian harus mengenal pasti bilangan petani yang terjejas kerana mereka menanggung kenaikan harga baja dan racun serangga import.

Menurutnya, masalah tersebut harus dipanjangkan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan lanjut supaya bantuan bersesuaian dapat diberikan segera.

Katanya pada masa yang sama, petani dan penternak digalakkan untuk  meningkatkan pengeluaran bertujuan mengurangkan import bahan makanan di negeri ini dalam keadaan nilai ringgit yang tidak menentu.

"Sementara pekebun kecil dan petani yang terjejas akibat harga kelapa sawit dan getah yang jatuh ketika ini, mereka disarankan beralih ke tanaman lain seperti sayur-sayuran untuk meningkatkan pendapatan," katanya. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial