Johor Perluas Pembinaan Rumah Mampu Milik Di Luar Bandar

Mohamed Khaled bertemu para peniaga di Gerai Lama, Jalan Johor, Ayer Hitam dalam sesi ‘Walkabout’ yang diadakan sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Ayer Hitam, hari ini.

BATU PAHAT 26 Mac – Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi pembinaan rumah mampu milik di kawasan luar bandar bagi memberi peluang kepada masyarakat di kawasan itu memiliki rumah.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan masyarakat di luar bandar sebagaimana yang dilakukan di kawasan bandar terutamanya di Johor Bahru.

Beliau berkata, beberapa projek rumah mampu milik di luar bandar termasuk di Lenga, Segamat, Tanjong Piai dan Labis antara yang bakal dibangunkan sebagai permulaan.

“Sebelum ini pembinaan rumah mampu milik banyak dibina di kawasan Johor Bahru berikutan permintaan yang tinggi daripada masyarakat di kawasan berkenaan.

“Justeru, bermula tahun ini Kerajaan Negeri akan memperluaskan pembinaannya di kawasan luar bandar bagi memberi peluang kepada masyarakat di kawasan berkenaan memiliki rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Parlimen Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali.

Mohamed Khaled berkata, pembinaan rumah mampu milik di kawasan luar bandar akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sendiri menerusi Syarikat Milik Kerajaan (GLC) Johor dan dibangunkan di tanah milik kerajaan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan membeli tanah bagi membina rumah mampu milik sekiranya terdapat masalah ketiadaan tanah di kawasan tertentu.

Sempena lawatan ke Parlimen Ayer Hitam hari ini, Mohamed Khaled turut mengumumkan kelulusan pembinaan rumah mampu milik dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng.

Ia melibatkan pembinaan di atas tanah seluas 33 ekar, yang akan dibangunkan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), merangkumi Pakej A bernilai RM42,000 seunit dan Pakej B (RM80,000).

Sementara di DUN Semarang, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk melakukan pengambilan balik tanah seluas lima ekar di Parit Sumarto, dekat sini, bagi tujuan pelaksanaan projek perumahan yang sesuai di kawasan tersebut.

Kerajaan Negeri sebelum ini menyasarkan pembinaan 60,000 rumah mampu milik di Johor menjelang 2019.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial