Johor Senarai Hitam Peniaga Sewakan Lesen Niaga

PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Kopersi Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday. – Foto Surianie Mohd Hanif

SHANGHAI, 17 April – Kerajaan Johor akan menyenarai hitam peniaga yang menyewakan lesen dalam usaha menangani isu penguasaan warga asing dalam perniagaan di negeri ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata tindakan peniaga tempatan `mengalibabakan’ lesen perniagaan kepada warga asing adalah kesalahan serius.

Katanya, apatah lagi ia membabitkan premis yang disewa peniaga berkenaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

“Masalah ini (penguasaan warga asing) berpunca daripada peniaga tempatan kita sendiri yang memberi lesen atau menyerahkan operasi perniagaan mereka pada warga asing sehingga menjejaskan peniaga yang lain.

“Di peringkat PBT, mana-mana peniaga yang menyewakan lesen terutama membabitkan premis PBT, kita akan tarik lesen dan senarai hitamkan nama mereka untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH ketika ditemui selepas menyertai delegasi misi pelaburan Johor ke Shanghai di sini, semalam.

Md Jais berkata, pihaknya kini juga sedang giat mengesan warga asing yang berniaga tanpa lesen sehingga berani mendirikan warung atau kedai di seluruh negeri ini.

“Jika pemeriksaan penguat kuasa mendapati ia benar-benar melanggar peruntukan perundangan sedia ada, kerajaan negeri akan arah mereka menutup operasi dan mengosongkan kawasan itu.

Jika masih berdegil kita arah PBT ambil tindakan meroboh premis berkenaan,” katanya.

Bulan lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengingatkan PBT untuk tidak berkompromi warga asing yang menjalankan perniagaan kerana mereka dibawa masuk adalah untuk bekerja bukan untuk berniaga.

Katanya, peluang perniagaan adalah hak rakyat tempatan dan bukannya dipelopori warga asing seperti yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.- BERITA HARIAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial