Johor Serius Memartabatkan Pengajian Melayu Ke Peringkat Antarabangsa

img_0180

 

LONDON, 21 Sept – Kerajaan Negeri Johor mengalu-alukan sumbangan para cendekiawan dari seluruh dunia untuk bekerjasama bagi menjayakan matlamat ke arah mengantarabangsakan Pengajian Melayu.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata di Johor kini, melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) sedang menyiapkan satu pelan induk dan halatuju yang lebih kemas bagi tujuan itu.

“Kita mahu memperkenalkan Johor sebagai sebuah Pusat Tamadun Melayu untuk menjadikan Johor medan kajian dan lapangan percubaan untuk membuktikan betapa dunia Melayu boleh menjadi sangat maju, terkehadapan dan moden, namun kekal dan segar dengan budaya dan tradisi bangsanya.

“Sudah tiba masanya untuk meyakinkan institusi-institusi di seluruh dunia yang menawarkan pengajian Melayu seperti SOAS di London, Leiden di Belanda, Beijing Foreign Studies di China dan Moscow State University di Rusia untuk menjadikan Johor sebagai rakan strategik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penutup Persidangan Antarabangsa Pengajian Alam Melayu 2016, di London, semalam.

Mohamed Khaled turut menyarankan agar para cendekiawan dari institusi-institusi tersebut mempertimbangkan kerjasama dengan Yayasan Warisan Johor (YWJ) untuk menerima pelajar melakukan latihan praktikal di Johor.

“Mereka juga boleh menghantar penyelidik dan felo pelawat yang berminat tentang kepesatan pembangunan dunia Melayu dan kami sangat mengalu-alukan jika ada mana-mana universiti tersebut membuka cawangan kampus mereka di sini (Johor).

“Kerana, di Johor adalah tempat terbaik untuk memahami fenomena pembangunan dunia Melayu yang sangat mempersonakan yang juga sebagai kuasa ekonomi baru Malaysia.

“Malah, YWJ juga boleh menganjurkan pertemuan pemimpin dan sarjana Melayu global di Johor bagi melihat sendiri kepentingan alam Melayu kepada masa depan dunia,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepada semua pengkaji dunia Melayu tentang keperluan untuk membangun dan melakarkan naratif baharu bagi bidang pengajian Melayu.

“Pertama, kerana kajian tentang dunia Melayu itu mempunyai nilai yang besar, keunggulan luar biasa dan strategik, namun gagal ditonjolkan.

“Kedua, kerana banyak sekali fenomena yang berlaku di alam Melayu ini boleh menjadi pedoman kepada masyarakat global.

“Manakala yang ketiga, kerana bidang pengajian Melayu telah bercambah dan berkembang pesat, dan menjadi bidang pelbagai disiplin,” katanya.

Tambah beliau, perubahan pantas itu memerlukan kajian yang saintifik serta pemikiran dan penilaian yang kritikal serta empirikal.

Di samping itu, Mohamed Khaled turut berharap agar persidangan Melayu yang berlangsung itu dapat digunakan untuk mencanang idea bagi melahirkan minda Melayu Maju yang luar biasa kreativitinya.

“Fikirkanlah bagaimana sejarah Melayu boleh ditonjolkan sebagai sejarah yang sarat dengan pengajaran yang relevan dengan keperluan masa depan masyarakat global, yang menyumbang kepada kekayaan khazanah kesusasteraan dunia.

“Ia juga ruang untuk membuat timbang tara antara nilai dan tamadun serta bagaimana ia boleh saling melengkapi dan saling mengukuhkan,” jelasnya lagi.

img_0210

img_0212

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial