Johor Sokong Titah Sultan Isu RTS

ISKANDAR PUTERI, 8 OGOS – Kerajaan Johor menyokong titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar terhadap reka bentuk projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan akan memaklumkan Kuala Lumpur berhubung isu terbabit.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata Kerajaan Negeri telah mengambil maklum terhadap pandangan Sultan Ibrahim dalam temubual yang disiarkan oleh dua akhbar tempatan hari ini.

“Pandangan Tuanku telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri dan kita memang menyokong dan akan memaklumkan kepada Kuala Lumpur mengenai pandangan yang diberi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyumberan Proses Perniagaan (BPO) Aegis Limited di Pusat Kecemerlangan (COE) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Global yang juga Pengarah Eksekutif Aegis Limited, Sandip Sen; Ketua Pegawai Operasi Aegis BPO Malaysia Sdn Bhd, Divya Dutta; Pengarah Urusan i2M Ventures Sdn Bhd, Zulfiqar Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Medini Iskandar Malaysia, Dr James Tee.

Beliau mengulas laporan akhbar The New Straits Times dan Berita Harian hari ini bahawa Sultan Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk jambatan bagi projek RTS yang menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.

Selain itu, baginda juga mempersoalkan mengapa kedua-dua negara perlu menggunakan khidmat kontraktor berasingan untuk membina bahagian di negara masing-masing dan menyarankan supaya satu kontraktor saja digunakan melalui usaha sama.

Mengulas sama ada isu dibangkitkan Sultan Ibrahim akan dimuktamadkan sebelum Disember ini, Mohamed Khaled berkata, aspek penyelarasan boleh diteruskan walaupun keputusan untuk melaksanakan projek berkenaan telah dirundingkan antara kedua-dua negara.

Pada 31 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata Malaysia dan Singapura akan menandatangani perjanjian dua hala mengenai RTS pada Disember depan.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif untuk 80,000 hingga 100,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari.

RTS mampu menampung pergerakan 10,000 pengguna di antara kedua-dua negara setiap jam apabila ia siap nanti.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial