Johor Sokong TN50

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Kerajaan Negeri hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap usaha menjayakan rancangan Pelan Transformasi Nasional 2050 atau TN50, iaitu satu visi nasional yang baharu.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri juga berasa bertanggungjawab untuk menawarkan apa jua bantuan dan sokongan ke arah menjayakan usaha tersebut.

“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa TN50 harus menjadi aspirasi bersama yang baharu untuk semua rakyat Malaysia.

“Ia harus menjadi harapan, cita-cita dan kemahuan seluruh rakyat serta dibangunkan dengan berlandaskan semangat kolektif Malaysia.

“Dalam abad ke-21, pelan pembangunan yang dirangka secara sehala dari pihak pemerintah sahaja sudah tidak relevan,dan jika masih diamalkan ia tidak akan membuahkan kejayaan, kerana TN50 tidak akan berjaya jika ia tidak mewakili suara dan luahan seluruh masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Nasional 2050 (TN50), Peringkat Negeri Johor 2017, di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani.

Mohamed Khaled turut berkata bahawa TN50 mesti menjadi tawaran baharu kepada Malaysia atau ‘a new deal for Malaysia’.

“Dasar TN50 perlu disusun dan disampaikan kepada generasi akan datang sebagai satu tawaran baharu yang adil, inklusif, realistik dan bukan dibuat kerana suka-suka.

“Ia perlu dijadikan tawaran yang akan mendorong semua pihak berlumba-lumba menjayakannya atas satu semangat, rasa kekitaan dan ikatan kenegaraan.

“Malah, ia juga berupaya memperbetulkan kelemahan sebelum itu melalui satu penyelarasan struktur yang diperlukan oleh Malaysia untuk terus memecut menjadi negara dan masyarakat terbaik,” katanya.

Beliau turut berkata, Malaysia memerlukan TN50 kerana beberapa sebab yang mana ia
penting bagi persediaan menghadapi pelbagai cabaran.

“Selepas enam dekad kemerdekaan, Malaysia memerlukan anjakan, katalis dan sasaran pembangunan nasional yang baharu kerana ia lahir daripada misi dan visi besar yang tercetus dari pemikiran yang berpandangan jauh.

” Ia juga menjadi simpulan nasional yang mengikat kita semua untuk terus mara ke hadapan secara bersama,” katanya.

Tambahnya, Malaysia juga sentiasa terbangun dengan ilham dan visi terbaik melalui dasar-dasar yang dirancang seperti Dasar Ekonomi Baru serta Dasar Pandang Ke Timur, dan TN50 adalah kesinambungannya.

“Untuk itu, Malaysia harus memikirkan masa depannya dengan serius kerana negara yang moden dan global mempunyai pelbagai cabaran yang memerlukan perancangan yang teliti dan bertanggungjawab,” katanya.

Justeru, beliau berkata cabaran terbesar adalah meletakkan fokus yang betul.

“TN50 bukan mengenai lebih banyak bangunan tertinggi, jambatan terpanjang atau stadium terbesar, juga bukan tentang projek dan pembangunan aspek fizikal dan material.

“Cabaran sebenar TN50 ialah mengekalkan apa yang Malaysia telah kecapi pada masa sama mencari naratif baharu untuk menambah baik apa yang ada dan mencipta perkara baharu.

“Dan semua cabaran tersebut perlu dihadapi dan dijawap dengan penuh ketelitian dan kejelasan kerana akhirnya segala rencana dan perancangan besar membawa kebaikan kepada semua untuk terus bangkit menjadi bangsa dan negara yang berjaya,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial