JOHOR TALENT 2 AMBIL 30 PESERTA

JOHOR BAHRU – Berita baik bagi golongan siswazah dari negeri ini, khususnya yang belum mendapat pekerjaan tetapi komited untuk meningkatkan diri kerana kerajaan negeri akan meneruskan progran Johor Talent.

Malah, jumlah peserta ditambah menjadi 30 orang berbanding 20 dalam program sulungnya tahun lalu.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Latihan Semnagat Dato’ Onn (Iklas), Khairi Malek, program cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu dite- ruskan ekoran kejayaan program sulung itu bagi melahirkan modal insan berprestasi tinggi dan berketrampilan.

“Proses pemilihan peserta ini akan dibuat dalam masa terdekat dan dijangka pengambilan peserta bermula bulan depan.

“Kita membuat beberapa penambahbaikan, antaranya peserta akan menjalani program pengenalan dan pemantapan diri selama lima minggu, iaitu untuk menyemai dan membentuk nilai-nilai yang diperlukan sebelum mereka dihantar untuk menjalani latihan di pelbagai syarikat milik kerajaan (GLC) kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada anak jati negeri ini, namun bagi yang lahir atau telah berhijrah ke negeri ini lebih 10 tahun tetap diberikan peluang menyertai program edisi kedua itu.

Khairi berkata, Johor Talent 2 juga memerlukan peserta mengikuti program tersebut selama enam bulan dan akan dibayar elaun bulanan sebanyak RM1,500.

“Sebenarnya, program ini bukan bertujuan untuk memberi kerja kepada peserta, tetapi kita mahu menjadikan mereka mempunyai nilai tambah seperti ilmu dan kemahiran yang lebih baik daripada sebelum ini.

“Pada akhirnya, kita berharap mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta serta dengan syarikat multinasional.

“Kita bangga bahawa peserta program Johor Talent pada tahun lalu berjaya menjadikan peserta lebih baik dan 70 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang selepas menamatkan latihan,” katanya.

Beliau berkata, memang menjadi hasrat kerajaan negeri supaya lonjakan kemajuan dan pembangunan pesat di negeri ini terutama dengan adanya Iskandar Malaysia dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Kota Tinggi turut dirasai dan dipacu oleh anak jati negeri ini.

Program tersebut memberi fokus terhadap enam teras kompetensi utama, iaitu integriti, kemahiran berkomunikasi, keterampilan, kemahiran menyelesaikan masalah, kerja berkumpulan dan kewibawaan global.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial