Johor tambah tanah Rizab Melayu

IMG_6509

GELANG PATAH: Kerajaan Negeri akan menambah bilangan tanah rizab Melayu bagi mengimbangi populasi kaum terutamanya di kawasan bandar.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan sedang mengenal pasti tanah-tanah yang terdapat di Johor termasuk tanah sedia ada milik kerajaan dan tanah hampir tamat tempoh pajakan untuk dijadikan rizab itu.

"Ia bukan hanya soal pemberian tanah dan perpindahan penduduk tetapi lebih kepada usaha untuk memastikan keseimbangan pembangunan.

“Penempatan di bandar penting diwakili oleh semua kaum di negara kita. Kita mahu pembangunan pesat berlaku tidak akan ada mana-mana kaum yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian majlis penyerahan Notis 5A kepada 261 penduduk Kampung Baru Wawasan, Gelang Patah, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri sedar pembangunan pesat yang berlaku akan menyebabkan sesetengah kaum tercicir.

Jelasnya, atas sebab itulah, penambahan rizab berkenaan perlu dilakukan demi menjamin kelangsungan masyarakat majmuk di negeri ini sekaligus mengeratkan perpaduan.

“Ia juga demi masa depan negara dan perpaduan rakyat supaya rakyat tidak hidup dalam keadaan terpisah atau tidak mengenali antara satu sama lain," jelasnya.

Mengenai hasrat kerajaan negeri mencapai setinggan sifar dalam tempoh lima tahun ini, Mohamed Khaled berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 5,000 keluarga terutama di Johor Bahru yang masih dikategorikan sebagai setinggan.

“Kita sedang memberi perhatian terhadap usaha untuk merealisasikan sasaran tersebut.

"Setinggan di negeri ini memerlukan pendekatan dan penyelesaian yang berbeza-beza antara satu kampung dengan kampung yang lain,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial