JOHOR TAMPIL KEUNIKAN

563351_580134942025539_1717104561_n

JOHOR BAHRU 25 Ogos – Sempena menyemarakkan Hari Kebangsaan 2015, kerajaan negeri menampilkan dua elemen baharu bertujuan menyuntik semangat patriotik setelah 58 tahun negara mencapai kemerdekaan iaitu amanat kemerdekaan dan teks khutbah Jumaat khas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday berkata, amanat kemerdekaan itu akan dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis Ambang Kemerdekaan di Dataran Bandaraya, pada pukul 8 malam, Sabtu ini.

“Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) pula akan menyediakan teks khutbah Jumaat khusus yang akan dibacakan di semua masjid di seluruh daerah. Malah kerajaan negeri mengatur empat program utama di peringkat negeri dan daerah untuk meningkatkan rasa sayang dan cinta kepada negara.

“Program bermula dengan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeridi Mersing, pada 16 Ogos lalu manakala yang kedua adalah tahlil dan doa kesyukuran pada Ahad ini di Masjid Tun Hussein Onn pada Ahad ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Md. Jais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Seranta dan Publisiti Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat negeri berkata, ia disusuli dengan Ambang Kemerdekaan peringkat negeri di Dataran Bandaraya dan program yang sama akan diadakan di peringkat daerah-daerah.

Malah buat kali pertama dalam sejarah, katanya, amanat kemerdekaan dibacakan pada malam tersebut kerana sebelum ini ia dilakukan pada pagi perhimpunan dan perarakan Hari Kebangsaan.

“Maka pada malam itu Menteri Besar akan menyampaikan amanatnya dan di peringkat daerah ia disampaikan oleh wakil rasmi Menteri Besar yang terdiri daripada Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri,” katanya.

Ujar Md. Jais, program keempat dan terakhir pula ialah Perhimpunan dan Perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang diadakan di Dataran Bandaraya bermula 7 pagi 31 Ogos melibatkan 85 kontinjen perbarisan jabatan dan agensi kerajaan serta 10 kontijen berkenderaan.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial