Johor Terap Ilmu, Kemahiran Abad Ke-21 Dalam Pendidikan

img_0404

 

JOHOR BAHRU, 26 Okt – Sumbangan besar warga pendidik dalam bidang pendidikan diyakini mampu membentuk pembangunan modal insan terbaik.

Malah, penerapan ilmu dan kemahiran abad ke-21 di negeri Johor juga menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada matlamat tersebut.

Menteri Besar Johor, Dato’Mohamed Khaled Nordin berkata, tanpa pendidikan yang kualitinya setara dengan kepentingan abad ke-21, Malaysia dan negeri Johor khususnya akan tercicir dalam persaingan global.

“Guru-guru perlu memberikan yang terbaik kepada anak-anak murid, suntikkan inspirasi dan dedahkan mereka tentang pembelajaran berdasarkan cabaran, analitikal dan berfikiran terbuka.

“Juga pupuk kecintaan mereka pada sains, sejarah dan segala disiplin ilmu agar keilmuan dan daya intelektual itu membuka pemikiran menjadi lebih luas dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jamuan Makan Malam Majlis Permuafakatan Guru Besar Daerah Johor Bahru, di SJK(C) Kuo Kuang 2, Taman Sutera Utama, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday dan Pengerusi Majlis Guru Besar Johor, Sariat Mokmin.

Mohamed Khaled turut berkata, kepentingan hubungan permuafakatan di antara pihak kerajaan dan sekolah amat penting dalam sesebuah pentadbiran.

“Kita mesti bekerja bersama-sama dan bermuafakat dengan cara saling mengukuh dan menyokong antara satu sama lain untuk mempersiapkan anak bangsa menjadi yang berkebolehan, berketahanan dan berkemajuan.

“Dengan cara itu, semua harapan dan matlamat bidang pendidikan dapat direalisasikan seterusnya untuk menjayakan Johor Berkemajuan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan mengenai kepentingan untuk mendapat pendidikan di kalangan semua masyarakat.

“Setiap masyarakat mempunyai peluang untuk mendapat pendidikan dan tidak ada yang terkecuali walaupun mereka berada di kawasan terpencil, pendalaman ataupun pulau-pulau kecil di Sabah dan pendalaman Sarawak.

“Kerana semuanya mempunyai peluang yang luas dan Malaysia adalah antara negara membangun yang paling berjaya mendemokrasikan bidang pendidikan,” katanya.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung ikrar taat setia daripada Ahli-ahli Majlis Guru Besar Johor.

Di negeri Johor, terdapat sebanyak 145 buah sekolah serta 8,888 orang guru, yang mana 4,942 orang mengajar di sekolah rendah dan 3,946 orang pula di sekolah menengah.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial