Johor Terus Maju Bawah Pemerintahan Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Di bawah naungan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, negeri Johor terus aman, tenteram dan makmur.

Menurut Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, baginda dan keluarga DiRaja telah mempamerkan kewibawaan dan sentuhan yang sangat luar biasa dalam pelbagai agenda seperti ekonomi, sukan dan kemasyarakatan termasuk dalam soal menyediakan Rumah Impian Bangsa Johor, Yayasan Sultan Ibrahim.

“Kesungguhan Tuanku dalam mengukuhkan konsep kerencaman budaya dan kesepaduan Bangsa Johor amat disegani sehinggakan keeratan muafakat jelas terlihat dalam segenap ruang kehidupan rakyat.

“Malah, Tuanku juga memainkan peranan yang sangat besar dalam memberi pencerahan kepada rencam politik semasa, dengan kewibawaan tulen, sebagai pemerintah yang adil dan berperlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan pada Majlis Penganugerahan Darjah dan Pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim di Istana Besar, hari ini.

Tambah Khaled, pencapaian baik negeri Johor sehingga kini adalah berasaskan penekanan yang khusus kepada keseimbangan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kesejahteraan sosial.

“Kerajaan Negeri amat menyedari amanah yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan negeri ini bukan sahaja dari segi ekonomi, malah mencakupi bidang-bidang lain kehidupan rakyat.

“Keseimbangan ini amat kritikal dan penting untuk diteruskan kerana pembangunan yang tidak seimbang tidak akan membantu negeri Johor untuk terus cemerlang dan menjadi negeri terbaik,” katanya.

Menurut beliau, salah satu perkara yang menjadi petunjuk penting dalam mengukur pencapaian negeri Johor termasuk kedudukannya di tangga pertama dalam jumlah pelaburan yang diterima di Malaysia bagi tahun 2016, iaitu sebanyak RM26.41 bilion.

Sejak tahun 2010 hingga 2015 juga, kadar pertumbuhan ekonomi Johor telah melepasi kadar yang direkodkan Malaysia secara konsisten, dengan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.9% berbanding 5.3% bagi Malaysia.

“Johor juga antara negeri di Malaysia yang mempunyai bacaan pekali Gini yang terendah pada 0.324.

“Bacaan ini penting kerana ia menunjukkan bukan sahaja wujudnya keseimbangan yang baik dalam proses pembangunan Johor, malah pengagihan kemakmurannya turut dilakukan secara adil dan berkesan,” ujar beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial