Johor Tidak Berdepan Krisis Air – BAKAJ

Krisis_Air

JOHOR BAHRU, 5 April – Johor tidak berdepan krisis air walaupun negara ketika ini mengalami cuaca panas yang berpanjangan akibat fenomena El Nino sejak Januari lalu.

Pengarah Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Mohd Riduan Md Ali, berkata ini kerana pihaknya mengambil beberapa langkah proaktif sejak akhir tahun lalu bagi memastikan bekalan air di empangan negeri ini berada dalam keadaan terkawal.

“Walaupun berlaku penyusutan air di empangan akibat faktor cuaca panas, namun keadaan terkawal dan tidak berlaku krisis air di Johor sehingga kita terpaksa melakukan catuan air.

“Antara langkah proaktif diambil ialah dengan melakukan penyaluran air mentah ke beberapa empangan, selain bercadang menjalankan pembenihan awan pada bulan ini bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai cuaca panas dan bekalan air Johor di Kota Iskandar dekat sini, semalam.

Mohd Riduan berkata, walaupun bekalan air di negeri ini masih terkawal, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dalam penggunaan air.

Sementara itu, beliau berkata, BAKAJ juga kini dalam proses melantik lapan pegawai anggota penguat kuasa bagi memantau kegiatan mencuri bekalan air, pencemaran sungai dan pencerobohan empangan.

“Kita baru mendapat kelulusan untuk perkara ini dan kini dalam proses melantik pegawai penguat kuasa bagi tujuan berkenaan,” katanya.- BERITA HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial