Johor Tinjau Kerjasama Dengan Huawei

PEMANGKU Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday (lima dari kiri) bersama Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (kanan sekali), Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud (enam dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim (lima dari kanan) mendengar taklimat mengenai Bandar Pintar ketika melawat Pusat R&D Huawei di Shanghai, semalam. – Foto NSTP

SHANGHAI, 16 April – Johor meninjau potensi kerjasama dengan peneraju syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari China, Huawei bagi berkongsi kepakaran firma itu membangunkan bandar pintar.

Kerajaan negeri menerusi Corporation (JCorp) turut menunjukkan minat mengadakan perbincangan lanjut antara kedua-dua bagi membangunkan Ibrahim International Business District (IIBD) sebagai sebuah bandar pintar.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata pihaknya sedang mempertimbang cadangan diusulkan firma dari China itu dan akan mengadakan beberapa siri perbincangan bagi melihat bagaimana Huawei boleh memainkan peranan dalam pembangunan IIBD.

“Pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Huawei di Shanghai kini memiliki 10,000 penyelidik dan pereka, khusus untuk produk telekomunikasi mereka dan jelas menunjukkan mereka mempunyai kepakaran.

“Apa yang menarik, mereka mengemukakan cadangan untuk Johor dengan slogan ‘A better connected Johor’ dan ia bertepatan dengan matlamat JCorp menjadikan cadangan pembangunan IIDB sebagai sebuah bandar raya pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat R&D Huawei dekat Xinjinqiao, di sini bersama delegasi kerajaan negeri diketuai Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday (lima dari kanan) bersama Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (enam dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim (kanan sekali) mendengar taklimat daripada kakitangan Pusat R&D Huawei di Shanghai ketika melawat bangunan itu, semalam.- Foto NSTP

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Dr Hafsah Hashim dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Kamaruzzaman berkata, Huawei buat masa ini antara syarikat yang membelanjakan peruntukan terbesar di dunia hanya dalam bidang R&D iaitu RM47 bilion dan ia jelas menunjukkan betapa seriusnya firma itu melihat masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Li Yingying, berkata pihaknya membentangkan kepada delegasi Johor bagaimana pembangunan ekonomi di negeri itu boleh dilakukan menerusi kekuatan syarikat mereka.

“Huawei menunjukkan kekuatan syarikat terutama dalam infrastruktur ICT, perkhidmatan hos awan dan internet yang boleh diguna pakai di Johor dalam membantu meningkatkan keupayaan dan kecekapan pentadbiran,” katanya. – BERITA HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial