Johor Tumpu 6 Bidang Jadi Hab Kesihatan Serantau

1906_Ayub

 

JOHOR BAHRU, 19 Jun – Rawatan kanser dan kardiologi adalah antara enam pengkhususan bagi menjadikan Johor sebagai hab kesihatan serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (IRDA) akan menjalankan kajian berkaitan termasuk mengenal pasti fokus hab kesihatan.

Katanya, kajian perlu dilakukan di kawasan Iskandar Malaysia untuk menjadikannya sebagai satu tarikan kepada pelancongan kesihatan.

“Beberapa perkara kita tetapkan iaitu apakah disiplin (pengkhususan) yang akan kita tetapkan sebagai keutamaan. Kita tidak mahu banyak sangat bidang, sebaliknya kita akan tumpukan kepada lima hingga enam fokus. Contohnya di Korea, mereka menumpukan kepada pembedahan plastik yang boleh dilakukan dalam tempoh sehari.

“Kita akan meneliti beberapa perkara untuk menjadikan Iskandar Malaysia ada kekuatan (jadi hab kesihatan). Pertama Hospital Sultan Ismail (HSI) menjadi pusat kanser Johor.

“Kita letakkan disiplin kanser satu keutamaan untuk menjadikan Iskandar Malaysia hab kesihatan bagi menarik pesakit kanser mendapat rawatan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program mewakafkan Radio Digital Islamik kepada HSI, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah HSI, Dr Arbain Lani.

Pada majlis itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Solidariti Bangsa Johor yang diketuai penaungnya, Datin Nur Hidayah Ahmad menyerahkan 105 Radio Digital Islamik bernilai kira-kira RM8,000 untuk kegunaan pesakit di HSI.

Ayub berkata, pihaknya juga akan menumpukan kepada perubatan berkaitan kardiologi, urologi serta kesihatan wanita dan kanak-kanak, selain berhasrat menarik pelabur yang berminat. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial