JPAM PERBANYAK LATIHAN UNTUK TINGKAT TAHAP KECEKAPAN TANGANI SITUASI KECEMASAN

logo-jabatan-pertahanan-awam-malaysia-new

JOHOR BAHARU – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor telah memperbanyakkan latihan dalam usaha meningkatkan tahap kemahiran dan kecekapan anggotanya sewaktu menghadapi situasi kecemasan.

Pengarah JPAM Negeri Kolonel (PA) Mat Zin Bujang berkata dengan adanya latihan seperti itu, anggotanya akan sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana sama ada secara emosi dan fizikal.

"Setakat ini, kami telah mengadakan 366 latihan keselamatan yang melibatkan 98,361 anggota JPAM serta orang awam," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan peserta latihan kesiapsiagaan di pejabat JPAM negeri, di sini hari ini.

Mat Zin berkata antara latihan yang dijalankan sepanjang tahun ini ialah latihan kesiapsiagaan awam menghadapi kecemasan serta ceramah pertahanan.

Beliau berkata latihan ini perlu bagi melahirkan pegawai dan anggota yang berpengetahuan terhadap situasi kecemasan dan bencana, sekali gus meningkatkan semangat berpasukan dan kerjasama.

Mengenai majlis itu, Mat Zin berkata seramai 100 pegawai dan anggota terpilih dari setiap daerah di negeri ini menyertai latihan dua hari yang bermula hari ini.

"Latihan yang diadakan ini merangkumi latihan menyelamat tempat tinggi, mencari dan menyelamat, menyelamat di ruang sempit dan menyelamat di air yang bertempat di sekitar bandar raya ini," katanya.

Beliau berkata JPAM yang telah dilantik sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah telah menerima 105 aset daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara aset logistik JPAM Johor termasuklah 13 ambulan, 27 enjin bot bawah 25 kuasa kuda dan lori lima tan," kata Mat Zin.

Buat masa ini, katanya, terdapat 15,000 anggota JPAM yang aktif di Johor bagi menjalankan tugas menyelamat ketika kecemasan.- BERNAMA
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial