Jualan Mega Jadi Acara Tahunan, Bantu Kurangkan Beban Kos Sara Hidup

PASIR GUDANG, 20 Mei – Kerajaan Negeri akan menjadikan Karnival Jualan Mega Muafakat Johor sebagai acara tahunan dalam usaha membantu mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup rakyat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat di negeri ini terutamanya di kawasan Iskandar Malaysia berpeluang untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan melalui penganjuran karnival tersebut.

“Memandangkan kos sara hidup di Johor Bahru sentiasa tinggi, karnival seperti ini perlu diadakan secara tetap dan sebagai acara tahunan.

“Malah, ia juga akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Exco berkenaan selain dapat dijadikan satu jenama pelancongan negeri.

“Justeru, kita akan membantu untuk menjayakannya secara lebih kerap pada tahun hadapan dengan peruntukan bajet daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media sempena Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2017, di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor, Khairul Anwar Bachok.

Sewaktu berucap merasmikan karnival berkenaan, beliau berkata kerajaan sentiasa peka terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat yang disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup.

“Ini berpunca daripada beberapa faktor seperti ketidaktentuan cuaca, bencana alam, kadar upah minimum, kadar tukaran wang asing dan persekitaran ekonomi dunia yang mencabar dan tidak menentu.

“Oleh itu, antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban rakyat ialah dengan melancarkan kempen jualan mega seperti ini.

“Selain pelbagai dasar kerajaan yang dirangka untuk manfaat rakyat seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan perkhidmatan Bas Muafakat Johor secara percuma,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 500 paket gula pasir diedarkan secara percuma kepada orang ramai yang hadir.

Karnival yang diadakan buat kali ke-2 pada tahun ini disertai oleh lebih 50 pengeluar dan pengilang barangan bermula daripada 19 hingga 21 Mei ini.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial