JUMLAH KEMATIAN AKIBAT DENGGI MENINGKAT

KULAI – Jumlah kematian akibat demam denggi di negeri ini mencatatkan peningkatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ini berikutan sebanyak 28 kematian dicatatkan setakat minggu ke-35 yang berakhir 15 September lepas berbanding 19 kematian pada tahun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan, kesemua daerah telah mencatatkan kematian kecuali Pontian dan Ledang.

“Sebanyak 10,225 jumlah kumulatif atau terkumpul kes denggi dicatatkan di seluruh Johor dalam tempoh berkenaan dan daripada jumlah berkenaan daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,022 kes.

“Untuk itu, kita akan mengadakan gotong-royong perdana melibatkan seluruh jabatan dan kawasan tempat tinggal di seluruh Johor Bahru pada 17 Oktober depan dan berharap masyarakat di kawasan tersebut akan turut serta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Clean Up The World Sempena Sambutan Hari Hijau Sedunia 2015 di Hutan Gunung Lipur Pulai 1, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan peruntukkan berjumlah RM10,000 untuk projek pengindahan dan pembersihan Kampung Sri Gunung Pulai.

Hadir sama; Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulaijaya Berhad, Jamaludin Abd Hamid dan Adun Bukit Permai, Ali Mazat Salleh.

Dalam pada itu, Ayub berkata, kerajaan negeri sedang merancang untuk membangunkan satu pelan pengurusan bersepadu Gunung Pulai membabitkan penglibatan kesemua agensi yang mempunyai kepentingan dan komuniti sekeliling.

“Buat masa ini, kawasan Hutan Simpan Gunung Pulai masih ditutup kepada para pelawat dan pihak kerajaan negeri.

“Kita harap Unit Perancang Ekonomi negeri (Upen) Johor akan melaksanakan pembentukan pelan pengurusan berkenaan dan dibantu oleh kepakaran yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) serta Jabatan Perhutanan negeri.

“Dalam masa yang sama, kita berharap wakil kampung Sri Gunung Pulai turut dipanggil untuk turut serta dalam memberi buah fikiran mereka untuk pelan pembangunan tersebut,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial