Jumlah Tanah Rizab Melayu Terus Meningkat

KOTA ISKANDAR: Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata keluasan tanah rizab Melayu di negeri itu kini berjumlah 554,924 hektar, peningkatan sebanyak 29.2 daripada keluasan negeri Johor.

Perangkaan sehingga 30 April 2015 menunjukkan jumlah rizab itu meningkat sebanyak 6.4 peratus pada tahun ini, berbanding tahun lalu yang mencatatkan keluasan keseluruhan tanah rizab berjumlah 432,157 hektar.

“Peningkatan itu kesan daripada penambahbaikan Garis Panduan Perolehan Hartanah, yang menghadkan pemilikan rumah bagi warga asing pada harga minimum RM1juta serta pengenalan Dasar Baru Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing yang menetapkan kuota pemilikan warga asing bagi satu-satu projek hartanah,” katanya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-13, di sini, hari ini. 

Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ayub Jamil (BN-Rengit) berhubung tambahan jumlah tanah rizab Melayu dan usaha mengawal pemilikan warga asing di negeri Johor

Menurutnya, kerajaan negeri juga menetapkan warga asing yang menetap di negeri ini tidak dibenarkan untuk memiliki rumah kediaman atau rendah di bawah kategori kos rendah dan kos sederhana rendah.  

Menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Senai) dan Datuk Samsol Bari Jamali (BN-Semarang) berkenaan pegangan hak milik warga asing di negeri Johor,  Mohamed Khaled berkata, pegangan hak milik warga asing juga masih rendah di negeri ini.

“Jumlah keseluruhan hak milik rakyat tempatan bagi kategori landed adalah 1,304,975 hakmilik tanah, berbanding 9,459 atau 0.72 peratus hak milik yang didaftarkan di atas nama warga asing.

“Daripada jumlah itu, hak milik strata bagi warga asing adalah sebanyak 1,088, iaitu hanya 1.16 peratus daripada jumlah 93,411 hak milik strata,” katanya.

Beliau menambah peningkatan jumlah pegangan hakmilik oleh warga tempatan membuktikan kepentingan rakyat tempatan tetap menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kepentingan rakyat Johor akan terus menjadi keutamaan agenda pentadbiran kerajaan negeri. Pembangunan yang ada di Johor haruslah dinikmati oleh rakyat Johor sendiri. Johor adalah untuk Johor,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial