Kaedah Nutri Pot Hasilkan Sayur Bermutu

2804_Pertanian

KLUANG, 28 April – Majlis Perbandaran Kluang (MPK) akan melaksanakan penanaman menerusi kaedah Nutri Pot secara berperingkat di 24 zon dalam kawasan pentadbirannya kerana ia dilihat memberi kejayaan dalam bidang pertanian.

Ketua WHIPS MPK, Md Norhalim Md Amin berkata, kejayaan itu bersandarkan kepada kejayaan perusahaan pertanian dijalankan secara kecil-kecilan di dua zon kawasan pentadbirannya sejak ia diperkenalkan awal tahun ini.

Beliau berkata, dua zon yang melaksanakan kaedah tersebut ialah di kawasan Perumahan Haji Manan dan Taman Kluang Barat, yang diletakkan sebagai projek perintis kaedah penanaman menggunakan pasu itu.

Katanya, projek penanaman yang ditanggung sepenuhnya oleh Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dun Mahkota dan Yayasan Perbandaran Kluang (YPK) itu adalah usaha sama dengan Jabatan Pertanian untuk membolehkan kelompok komuniti memperoleh pendapatan sampingan keluarga.

“Melalui kaedah ini, ia secara tidak langsung dapat membantu mereka terlibat mendapatkan bekalan sayur-sayuran bermutu tanpa mengeluarkan perbelanjaan dan dalam masa sama memperoleh pendapatan hasil usaha dilakukan.

“Kaedah yang sama juga akan diterapkan di Taman Permata dan sebagai permulaan, 100 pasu diberikan percuma kepada komuniti di sini bagi mengusahakan tanaman melalui kaedah Nutri Pot ini,” katanya selepas program Komuniti Kejiranan Hijau di Balai Raya Taman Permata, semalam.

Hadir sama, Setiausaha MPK, Mohd Radif Kosnin dan Pemangku Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Raza As’ad Rajab.

Dalam pada itu, Md Norhalim berharap, peluang diberikan itu akan dimanfaatkan semua peserta terlibat, seterusnya mampu mengeluarkan hasil dalam jangka masa ditetapkan dan menjana pendapatan sampingan buat mereka.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Kluang, Faizal Saidi berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberikan tunjuk ajar dan maklumat kepada peserta agar mereka dapat menghasilkan tanaman lumayan melalui kaedah tersebut. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial