KAJI CADANGAN KAWAL SEDIA INTERNET – KJ

Khairy-Jamaludin

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu kajian diadakan berhubung cadangan mengawal selia internet dan media sosial.

Bagaimanapun, katanya keperluan kawal selia internet dan media sosial wujud lantaran penyebaran berita palsu dan sebagainya.

"Itu perlu kita kaji, bukan mudah untuk kita kawal selia media sosial. Pada satu sudut memang ada keperluan untuk kita melihat pada penyebaran berita palsu sebagainya.

"Pada satu sudut lagi adalah jaminan bahawa kita tidak akan sekat internet di negara kita," katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Jejak Warrious pada Ahad.

Tambahnya, beliau yakin Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk dipertimbangkan serta pelaksanaan yang adil.

"Saya percaya Menteri Komunikasi dan Multimedia akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet dan kita akan pertimbangkan dan kita akan dapat satu pengimbangan antara kebebasan dan mengawal selia berita-berita yang palsu yang tidak berasaskan fakta," katanya.

Mengulas tentang cara terbaik mengatasi penyebaran berita palsu, Khairy berkata, pendidikan kepada golongan muda adalah penting supaya mereka mampu menilai sesuatu berita yang diterima.

"Yang terbaik yang kita boleh buat adalah untuk mendidik orang muda supaya mereka dapat semak dan melakukan usul periksa kepada apa sahaja berita yang mereka terima.

"Sekatan itu adalah jalan terakhir, tetapi kalau sekiranya kita tidak dapat mendidik dan kita tidak dapat menerapkan budaya di mana orang muda itu dapat kaji selidik dan semak apa sahaja yang mereka terima dan mereka terima apa sahaja yang disebarkan dalam media sosial maka dari situ perlu ada campur tangan daripada pihak berkuasa," katanya lagi.

Bagaimanapun, Khairy masih berpandangan usaha memberi pendidikan kepada pengguna media sosial terutama golongan muda perlu dilakukan dan pada masa sama mewujudkan cadangan untuk mengawal selia media sosial dan bukan menyekat.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bercadang melaksanakan standard antarabangsa bagi mengawal selia internet.

Katanya, cadangan itu secara khusus untuk mengawal selia dan bukan menyekat penggunaan internet supaya tiada individu yang akan menderita akibat jenayah fitnah.- ASTRO AWANI

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial