Kaji Semula Dasar Permohonan Tanah Pertanian

JOHOR BAHRU, 4 Mei – Kerajaan Johor dinasihatkan agar segera mengkaji semula dasar permohonan tanah pertanian bagi mengelakkan ia diberi sewenang-wenangnya.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah kerajaan sering didesak supaya mengurniakan tanah pertanian kepada peneroka atau penceroboh sejak dulu lagi, sehingga akhirnya tiada lagi tanah kerajaan yang boleh diberi nanti.

“Saya juga menggesa kerajaan supaya memberi penekanan kepada kes pelanggaran syarat tanah.

“Jika sesuatu kawasan pertanian sudah digunakan sebagai tapak industri atau perniagaan, kerajaan perlu memudahkan proses ubah syarat tanah supaya bayaran premium tanah dan kadar cukai lebih tinggi dapat dikutip,” titahnya.

Teks ucapan Sultan Johor dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada perasmian pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Ahli Majlis Jumaah DiRaja Johor, Speaker Dewan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, serta Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani.

Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga hendaklah segera menguatkuasakan pindaan peraturan tanah Johor yang mengenakan kadar bayaran dan cukai tanah baharu.

Pindaan itu sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2015, iaitu 10 tahun dari pindaan terakhir yang telah dibuat oleh kerajaan pada tahun 2004.

“Janganlah kerana hendak menghadapi pilihan raya, kerajaan menangguhkan pelaksanaannya kerana apa jua keputusan pilihan raya kelak, pindaan peraturan ini akan tetap dikenakan.

“Sesuatu dasar dan undang-undang mestilah dibuat secara konsisten, bukan atas sebab politik,” titahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan harus mencari jalan untuk menambah hasil dengan mencari sumber hasil baharu yang lebih konsisten.

“Sebagai contoh, premium tanah yang dikenakan hanya sebanyak RM400 dan cukai tanah sebanyak RM35 setahun tetapi, apabila kerajaan hendak mengambil semula tanah tersebut, kerajaan terpaksa membayar mengikut harga pasaran semasa.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya kerajaan hanya memberi hak penggunaan secara sewaan tahunan yang akan memberi hasil lebih baik.

“Tambahan pula, tanah tersebut masih kekal milik kerajaan dan boleh digunakan untuk pembangunan pada masa akan datang tanpa perlu menanggung kos PBT (pihak berkuasa tempatan) yang tinggi,” titahnya.

Sementara itu, baginda juga menyatakan rasa kekecewaannya apabila ada rakyat yang mempertikaikan kutipan cukai yang dibuat dan enggan menjelaskannya.

Baginda mengambil contoh penduduk di Kampung Air Papan Mersing yang tidak mahu menjelaskan cukai harta, apabila kawasan mereka dimasukkan ke dalam kawasan pentadbiran majlis daerah.

“Cukai yang dikenakan adalah kecil berbanding perkhidmatan yang akan diberikan, namun kerana sikap tidak bertanggungjawab, mereka terus membantah.

“Saya telah bayarkan cukai tersebut untuk tahun ini, namun untuk tahun seterusnya mereka mestilah membayar sendiri. Pergilah ke mana-mana negara di dunia ini, semuanya ada mengamalkan sistem cukai yang tidak boleh dielakkan,” titahnya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial