KAMI MAHU PENJELASAN PEMIMPIN

image (3)

NUSAJAYA – Isu – isu berkaitan seperti 1Malaysia Development Berhad, kejatuhan nilai Ringgit, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Kabinet antara punca sokongan terhadap Umno semakin lemah.

Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Mohamad Khairi A Malik berkata, pemimpin tertinggi Umno dan kementerian terlibat digesa membuat penjelasan dan pemantauan segera supaya isu ini tidak terus menghimpit rakyat.

Menurutnya, akar umbi mahu penjelasan daripada pemimpin pusat sekiranya tidak mahu isu ini menjadi punca kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) terutamanya di negeri ini yang menjadi tempat Umno ‘dilahirkan’.

“Kita tidak mahu isu-isu ini menjadi punca parti berkubur sedangkan Johor adalah tempat lahirnya Umno. Disebabkan sayangkan parti juga kita mahu barisan kepimpinan tertinggi membuat penjelasan terhadap isu yang melemahkan sokongan rakyat.

“Jawapan terhadap persoalan berhubung isu-isu berkenaan ada pada pucuk pimpinan dan pemimpin atasan. Sudah tentu akar umbi mendesak persoalan ini dijawab dan diselesaikan segera kerana sayangkan parti yang mempunyai ‘track record’ baik dalam membela orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gelang Patah, di Stadium Educity, di sini, semalam yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mohamad Khairi menyeru pucuk pimpinan supaya membuat penerangan segera kerana beliau yakin suara rakyat yang tidak berpuas hati mengenai isu semasa dikaitkan dengan parti dan pemimpin bukan di Gelang Patah sahaja.

Dalam ucapannya itu, beliau memaklumkan walaupun Parlimen Gelang Patah diwakili Ahli Parlimen DAP namun Umno Gelang Patah terus meletakkan kebajikan orang Melayu sebagai keutamaan dengan mewujudkan dana ‘Sayangi Gelang Patah’ bagi tujuan kebajikan mahupun bantuan pendidikan.

Dalam pada itu, Mohamad Khairi Umno Gelang Patah perlu terus bekerja kuat dalam termasuk berusaha menambah pengundi baharu. Ia juga adalah usaha memberi saingan kepada pembangkang untuk merampas semula kerusi parlimen itu.

“Untuk menambah pengundi baharu kita perlukan lebih banyak rumah mampu milik di bina di Parlimen Gelang Patah. Kita memerlukan kediaman jenis ini dibina bagi menambah jumlah pengundi Melayu.

“Berdasarkan rekod diterima sebanyak 5, 000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di bina di Gelang Patah bagi tempoh 2017 hingga 2018. Kita sendiri akan memantau pembangunannya oleh pemaju,” katanya. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial