KAMU KELUARLAH DULU, TAK PAYAH PEDULIKAN SAYA

image (1)

BATU PAHAT – “Kamu keluarlah dahulu, tak payah pedulikan saya… jika umur saya panjang selamatlah saya,” itulah kata-kata terakhir mangsa kebakaran, Juli Sukar, 72 kepada isterinya, Rahmah Ibil, 72, sebelum dia rentung dalam kebakaran itu.

Warga emas berkenaan yang lumpuh separuh badan itu gagal menyelamatkan dirinya setelah terperangkap, selain sebahagian badannya telah dihempap kayu bumbung rumahnya. 

Menurut Rahmah, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi semalam, dia tersedar daripada tidurnya apabila dikejutkan suaminya yang memberitahu kediaman mereka terbakar.

Katanya, dia terus bergegas bangun untuk melihat keadaan sebenar dan mendapati rumahnya sudah separuh terbakar, kemudiannya dia berusaha untuk mendapatkan suaminya yang lumpuh itu.

“Saya segera mendapatkan suami, saya cuba menarik dan mengheretnya keluar tetapi tidak berjaya…suami menyuruh saya selamatkan diri tanpa memikirkan keselamatannya.

“Disebabkan api sangat marak, saya terpaksa keluar ikut pintu di belakang, dan sebak bila melihat kediaman terus terbakar, kerana suami masih berada di dalam," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Nira di sini, semalam.

Ketika kejadian, hanya mereka berdua berada di rumah kerana anaknya bekerja syif malam di kilang berhampiran. 

Kata Rahmah, mayat suaminya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk dibedah siasat, dan akan dikebumikan, di Kampung Sarang Buaya, Semerah, selepas Solat Zuhur.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.05 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, kediaman pasangan warga emas yang dibina 100 peratus daripada kayu itu telah terbakar keseluruhannya, dan anggotanya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah jiran.

“Daripada siasatan awal, kami mendapati punca kebakaran daripada litar pintas, dan kebakaran berkenaan dapat dikawal daripada merebak kawasan sekitar dalam masa 30 minit,” katanya.

Sementara itu, Wakil Yayasan Majlis Perbandaran Batu Pahat, Zaidi Japar berkata, pihaknya akan menyampaikan bantuan awal kepada waris mangsa, yang bertujuan untuk meringankan bebannya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata, bantuan awal juga telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij). – SH

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial