Kata Aluan MB

KATA ALU-ALUAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

 

MAKLUMAT nadi kehidupan hari ini.  Pelbagai medium digunakan untuk menyebarkannya dan bertindak sebagai pangkalan, juga pusat transit yang diwujudkan oleh pelbagai institusi dan individu.

Terkesan daripada itu, peperangan maklumat, manipulasi maklumat, perniagaan  maklumat dan inisiatif mempertingkatkan mutu maklumat tambah sengit dari sehari ke sehari.

Sebagai medium yang paling berpengaruh abad ini, maka maklumat di peringkat negeri perlu diurus dan dikongsi secara sistematik, terbuka dan mudah difahami serta berkeupayaan mencetuskan perspektif atau memberi persepsi baru agar sampai kepada kumpulan sasar.

Inilah yang mendorong Unit Media dan Komunikasi (MEDKOM) di Pejabat Menteri Besar melahirkan JAUHAR – buletin dwi-bulanan rasmi kerajaan negeri yang melaporkan polisi, inisiatif, analisis, perspektif dan progres pelbagai sektor supaya dapat dikongsi oleh semua stakeholder mahupun sesiapa sahaja.

Apabila di amanahkan menerajui tampuk pentadbiran negeri pada Mei 2013 lalu, saya mengesan pentingnya pendekatan memasyarakatkan semua inisiatif yang melibatkan dasar, pentadbiran, bajet dan pembangunan kerana kemuncak matlamatnya ialah mensejahterakan rakyat.

Sebahagian inisiatif ini terkandung dalam wadah Suara Hati Johor. Inisiatif ini digubal dan dilaksanakan berdasarkan  maklumat, kehendak dan keperluan rakyat bagi mensejahterakan rakyat.

Semua aspek dan aspirasi ini boleh dikongsi di dalam JAUHAR.

Dengan mendapat dan berkongsi maklumat, kerajaan berharap rakyat Johor akan faham serta menerima baik inisiatif-inisiatif baru lain yang diperkenalkan seterusnya sama-sama mengambil bahagian secara aktif bagi menjayakan serta menikmati kesejahteraan daripada inisiatif itu.

Berada di kedudukan paling atas bagi negeri yang menerima pelaburan domestik dan asing tertinggi di Malaysia bernilai lebih RM10 billion setakat September 2013 lalu, Johor perlu berkeupayaan mempertahan momentum, keyakinan dan posisi ini yang mesti disokong oleh polisi-polisi kerajaan, infrastruktur dan kemudahan, kecekapan jentera kerajaan serta sokongan dan penyertaan rakyat khususnya warga Johor.

Iskandar Malaysia sebagai ikon zon baru pembangunan wilayah adalah jenama yang perlu diurus dan dijaga kerana ia mempunyai pelbagai kelebihan sebagai magnetic force yang tidak ada di tempat lain. Iskandar Malaysia adalah nadi Johor yang dalam proses mencapai negeri maju. Ia turut menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara. Justeru, pembangunan Iskandar Malaysia mesti dilakukan secara holistik supaya pelaburan yang bertapak mampu mewujudkan pebagai manfaat kepada semua.

Pemahaman mengenai peranan dan sumbangan Iskandar juga akan diserlahkan oleh JAUHAR.

Buletin ini juga membuka ruang untuk pembaca berinteraksi dengan kerajaan melalui kolum dan medium yang disediakan. Interaksi dua hala ini perlu bagi mewujudkan keseimbangan dalam semua sudut.

Rumusannya, maklumat yang tepat adalah penting dalam membina perspektif dan persepsi positif dalam mendorong masyarakat memahami aspirasi kerajaan sekaligus menyertai inisiatif yang dilaksanakan bagi mencapai aspirasi itu.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial