Kawasan Lain Tidak Akan Dibiar Mundur – MB Johor

Mohamed Khaled menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Sagil, Tangkak, sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Ledang.

TANGKAK, 6 Feb. – Kerajaan Johor serius dalam usaha memastikan projek pembangunan yang akan dilaksanakan di Johor bersifat inklusif yang akan memberi keseimbangan kepada seluruh Johor dan bukannya tertumpu kepada daerah tertentu sahaja.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu juga dilakukan bagi memastikan segala manfaat daripada kerancakkan pembangunan dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar.

“Kerajaan Negeri mahu melihat dalam usaha kita membawa pembangunan yang rancak di Johor, ia turut benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ia bukan hanya di wilayah Iskandar Malaysia atau di kawasan hab minyak dan gas di Pengerang sahaja, tetapi keseimbangan dan pembangunan yang inklusif yang dapat dirasai di setiap daerah di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Ledang, dekat sini hari ini.

Parlimen Ledang merupakan lokasi ketujuh dalam rangka lawatan Menteri Besar Johor ke kawasan Parlimen yang diadakan sejak awal tahun ini.

Menurut Mohamed Khaled, siri lawatan itu juga merupakan komitmen Kerajaan Negeri bagi mengukur dan melihat sejauh mana pembangunan yang berlaku memberi kesejahteraan kepada setiap masyarakat di peringkat akar umbi.

“Memang benar ada kawasan yang membangun dengan pesat, tetapi dalam pembangunan yang pesat itu kita tidak akan biarkan kawasan lain mundur dan ketinggalan. Jadi sebab itulah lawatan ini penting supaya kita boleh melihat dan mengukurnya.

“Daripada lawatan ini, maka kita akan tetapkan satu sasaran kepada kelompok dan kumpulan tertentu yang kita mahu mereka juga mendapat manfaat daripada pembangunan dan kemajuan. Tidak kira latar belakang, semua kemajuan ini perlu dirasai dan dimanfaatkan oleh semua kaum,” katanya.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Tangkak, Abdul Alim Abd. Shukor; Ahli Parlimen Ledang, Datuk Dr. Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, Datuk M. Asojan, ketua-ketua jabatan dan wakil pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat.

Tambah Mohamed Khaled, tinjauan yang dilakukan di setiap kawasan Parlimen juga adalah bagi memastikan penekanan bukan sahaja kepada pembangunan berbentuk fizikal tetapi dari aspek kualiti hidup rakyat.

“Kita tidak mahu bertegas kepada pembangunan dan kemajuan atau hanya memberi perhatian kepada soal kejayaan yang berbentuk fizikal semata-mata, tetapi kita akan memberi penekanan terhadap soal aspek kualiti hidup dan juga kelestarian alam sekitar.

“Kemajuan tidak hanya melambangkan pembangunan pencakar langit, tetapi sejauh mana ia bantu meningkatkan kualiti hidup semua rakyat di negeri ini,” jelasnya.

Dalam lawatan sehari itu, Mohamed Khaled meluluskan peruntukan lebih RM20 juta bagi tujuan pembangunan di Parlimen Ledang.

Antara isu-isu setempat yang mendapat perhatian dalam peruntukan tersebut termasuklah pembinaan rumah mampu milik, pembinaan teminal bas dan teksi, penyelenggaraan dan pelebaran jalan kampung dan jalan negeri serta baik pulih sistem perparitan.

Mohamed Khaled beramah mesra bersama penduduk Kampung Teluk Rimba, Tangkak ketika mengadakan lawatan ke Parlimen Ledang.
Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial