Kecuaian Punca Kebakaran HS?

S. Subramaniam (tengah) bertanya khabar kepada salah seorang pesakit yang di tempatkan di Dewan Perdana HDS, Segamat, Johor.

SEGAMAT, 30 Mac – Faktor kecuaian mungkin menjadi punca kebakaran bilik simpanan linen di Wad Lelaki Hospital Segamat (HS), petang Selasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, faktor kecuaian manusia mungkin menjadi salah satu punca kerana bilik berke­naan sering dijadikan lokasi keluar dan masuk pekerja untuk mengambil alas tilam dan sarung bantal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata demikian selepas melawat HS termasuk bertanya khabar para pesakit yang terjejas ekoran kejadian itu di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rooshaimi Me­rican A. Rahim Merican; Pengarah HS, Dr. Mokhtar Ahmad dan Pegawai Bomba dan Penyelamat Bandar IOI, Mohd. Aizad Mamat.

Subramaniam berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan bermula di Wad Wanita dan sekiranya didapati selamat, seramai 16 pesakit wanita akan dibenarkan untuk menduduki semula wad tersebut dalam masa terdekat.

Pihaknya juga menyerahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat punca kebakaran bilik simpanan linen itu dan tidak akan memberi tekanan kepada pihak berkenaan untuk menyegerakan siasatan bagi memastikan laporan lengkap diperoleh.

“Mungkin laporan kebakaran ini tidak akan mengambil masa yang lama seperti di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dahulu kerana kebakaran di sini hanya kebakaran kecil,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pihaknya telah membuat audit lebih daripada 50 hospital di seluruh negara dan salah satunya adalah mengenai pendawaian di HS yang perlu diganti, namun kebakaran telah berlaku lebih awal.

“Pemeriksaan yang dilakukan adalah secara berperingkat-peringkat bermula dengan hospital yang berusia lebih 50 tahun di­ikuti hospital berusia 30 tahun dan kos untuk menyelenggara semua hospital yang terlibat antara RM500 juta hingga RM600 juta.

“Saya juga akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memohon peruntukan tambahan kerana ketika ini kementerian mempunyai peruntukan yang terhad dan tidak mencukupi,” katanya – Utusan

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial