Kedah Komited Jalin Kerjasama Dengan Johor

NUSAJAYA: Dua sektor utama dikenal pasti dapat meningkatkan lagi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata dua sektor utama ini merangkumi perdagangan dan pelancongan yang dilihat mampu memberikan manfaat kepada ke dua-dua pihak, di samping beberapa sektor lain yang dikenalpasti  mampu mengeratkan lagi kerjasama antara negeri.

Katanya,  kerjasama yang bakal dijalinkan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan tempatan khususnya yang terlibat dengan industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya lagi, pihaknya tidak menolak kebarangkalian permasalahan yang akan timbul dan cabaran utama yang  dikenalpasti mungkin timbul dalam sektor perdagangan adalah berkaitan logistik.

"Isu logistik contohnya adalah cabaran utama. Sekiranya terdapat perkhidmatan kontena yang kerap dan terus antara Kedah dan Johor, pasti akan dapat meningkatkan lagi nilai dagangan.

"Selain itu, kejayaan Johor dalam sektor pelancongan boleh dijadikan contoh kepada Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Jalinan Transformasi antara Kedah dan Johor di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata Kerajaan Negeri Johor mengalu-alukan jalinan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Johor dan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Lawatan ini bertujuan berkongsi dan bertukar pandangan berhubung soal pengurusan, pentadbiran dan pembangunan kerajaan negeri.

“Jalinan ini diharap dapat mengeratkan lagi kerjasama sedia ada di samping meningkatkan lagi perdagangan dua hala antara Johor dan Kedah,” katanya.

Kunjungan diketuai Mukhriz itu disertai kira-kira 60 orang termasuk pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Kedah,  antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial