Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor Kembali, 6 Negara Rebut Piala Berprestij

img_0038

 

JOHOR BAHRU, 17 Okt – Enam pasukan bakal berentap pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor yang bakal berlangsung pada 31 Okt hingga 6 Nov, di Stadium Hoki Taman Daya, dekat sini.

Kejohanan membabitkan barisan remaja menggunakan format liga sepusingan itu disertai Malaysia, England, Australia, New Zealand, Pakistan dan Jepun.

Kecuali Malaysia, kesemua negara lain menggunakan kejohanan itu sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja yang akan diadakan di Uttar Pradesh , India dari 8 hingga 18 Dis ini.

Majlis pelancaran dan penyerahan replika cek penajaan kejohanan disempurnakan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim selaku wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Hotel Puteri Pacific, di sini, hari ini.

Sebanyak 12 tajaan melibatkan nilai keseluruhan lebih RM1.4 juta, termasuk RM500,000 daripada Kerajaan Johor, Astaka Padu (RM200,000), Tanaga Nasional (RM100,000), Johor Corporation (RM100,000) dan beberapa syarikat lain.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata penganjuran kejohanan sejak 2011 itu telah menjadi satu mercu tanda Johor di persada antarabangsa.

“Sejak diperkenalkan pada 2011, piala ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa, sekaligus melakarnya sebagai kejohanan berprestij dalam takwim pertandingan hoki dunia,” katanya ketika menyampaikan persembahan ucapan pada majlis sama.

Beliau turut menegaskan beberapa perkara penting mengenai kesungguhan dalam menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.

“Kejohanan seperti ini adalah satu cerminan betapa di Johor ini, segala-galanya adalah tentang memberikan yang terbaik, selain kejohanan ini mengingatkan kita betapa sukan adalah tentang ikhtiar berterusan memperkasakan semangat keinsanan.” katanya.

Tambah beliau ia juga merupakan salah satu cara Johor membongkar bakat terbaik anak bangsa.

Pada kejohanan kali ke-6 tahun ini, skuad remaja negara akan membuka cabaran mereka menentang England pada 31 Okt.

Selepas menentang England, Malaysia akan berdepan Australia (1 Nov), Pakistan (2 Nov), Jepun (4 Nov) dan New Zealand (5 Nov).

Piala Sultan Johor adalah satu-satunya kejohanan jemputan remaja yang diadakan secara tahunan dan Malaysia muncul sebagai juara sulung kejohanan itu pada 2011.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial