KEMAS Instrumen Penting Memajukan Pemikiran Rakyat

JOHOR BAHRU, 16 Julai – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu mendukung usaha memajukan pemikiran dan pembangunan masyarakat di negeri ini dengan naratif baharu seiring dengan perubahan zaman.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, naratif baharu itu termasuk dalam meyakinkan masyarakat supaya berlumba-lumba mengejar kemajuan, bersungguh-sungguh merebut peluang untuk berjaya, serta bersikap lebih kompetitif dan berani bersaing.

“KEMAS mesti sedar bahawa naratif baharu ini mesti dijayakan dengan serius agar orang Melayu mendapat inspirasi menjadi bangsa maju. Bukan dibelenggu dengan rasa ketidakyakinan yang tinggi dan menebal.

“Inilah tugas KEMAS, inilah tanggungjawab KEMAS iaitu mengubah pemikiran orang Melayu dan merangsang perubahan dalam masyarakat agar mereka beralih daripada menjadi penerima yang pasif kepada penyumbang yang konstruktif dalam pembangunan bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Muafakat KEMAS Negeri Johor di Dewan Raya, Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Untuk itu katanya, terdapat beberapa perkara  yang harus KEMAS lakukan bagi melaksanakan mandat dan naratif baharu itu.

Katanya, KEMAS tidak boleh bersifat terlalu ‘politikal’, sebaliknya mesti memfokuskan kepada usaha membangun pemikiran terkehadapan dalam masyarakat.

“KEMAS mesti kembali merangsang anjakan dalam cara rakyat kita berfikir. Antaranya dengan memberikan mereka perspektif baharu tentang dasar-dasar kerajaan menggunakan pelbagai pendekatan yang inovatif.

“Di Johor, terdapat banyak dasar dan agenda kita yang progresif dan transformatif, yang mesti disampaikan kepada rakyat. Bukan sahaja untuk mereka fahami dan hayati. Malah, bagi memastikan mereka tertarik untuk turut serta dan mendukung pelaksanaannya,” katanya.

Mohamed Khaled bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Sarday, serta Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md Ariff bergambar dengan para hadirin di Majlis Himpunan Muafakat KEMAS Negeri Johor.

Beliau turut menggesa supaya KEMAS memanfaatkan teknologi serta menggunakan media sosial dengan seluas-luasnya.

“Tanpa medium seperti media sosial, naratif baharu yang ingin KEMAS sampaikan akan hanya berlegar dalam kalangan pemegang taruh KEMAS sahaja. Bukan masyarakat kebanyakan, sedangkan mereka di luar sanalah kumpulan sasar utama.

“Pengaruh media sosial hari ini sangat luar biasa. Mengabaikan pengaruh dan keluasan capahannya, adalah sikap anti kemajuan. Bertindak tanpa bersandarkan data dan maklumat terkini, hanya akan menjadikan KEMAS terkebelakang dan tidak terkini,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled lagi, KEMAS juga perlu mempunyai sasaran yang jelas dalam rangkaan strateginya.

“Ini bermakna strategi KEMAS mestilah disesuaikan dengan keperluan sasarannya. Apabila berhadapan dengan pendukung tegar kerajaan, fokusnya mestilah kepada usaha meningkatkan keyakinan dan kesetiaan mereka.

“Apabila berhadapan dengan generasi muda yang kritikal, lantang dan sangat bermaklumat, strateginya mestilah untuk menyakinkan mereka, bahawa kerajaan sedia ada bersedia mendengar keluhan dan isu-isu mereka.

“Apabila berhadapan dengan pelbagai rakan strategik, fokus kita ialah untuk mengajak mereka bersama-sama terlibat dan berkerjasama demi tanahair tercinta,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial